Baddrol, Rizal antara 6 nama besar dirantai The Rhinos untuk semusim lagi


  • Podium
  • Rabu, 16 Nov 2022

Kim Swee (tengah) dikhabarkan mahu mengekalkan majoriti pemain Sabah FC musim depan. — Facebook/Sabah FC

KEMPEN Piala Malaysia sudah memasuki peringkat semi final dan ini bermaksud tirai musim 2022 bakal berlabuh tidak lama lagi.

Biarpun tidak diumumkan secara rasmi, beberapa pasukan dikhabarkan sudah giat mengemukakan tawaran baharu untuk mengekalkan pemain-pemain.

Bagi pasukan Sabah FC, setakat ini cuma pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-su sah secara rasmi dikekalkan dalam skuad Sang Badak untuk menghadapi kempen Liga Super musim depan.

Biarpun tidak buka mulut mengenai pemain lain, pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir pernah mengakui bahawa kontrak pemain lain juga sudah disediakan.

Namun rahsia yang mahu disimpan itu tidak menghalang khabar angin untuk tiba ke telinga peminat bola sepak tempatan berkenaan status pemain kesayangan mereka.

Antara nama mendahului carta pemain dikekalkan pada musim depan adalah pemain tengah, Baddrol Bakhtiar meskipun pelbagai 'hint' mengatakan sebaliknya.

Baddrol sebelum ini difahamkan akan kembali menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA FC) bagi mendekatkan dirinya bersama keluarga yang menetap di bumi jelapang padi itu.

Setakat ini, hanya Tae-su yang sudah disahkan secara rasmi bakal menyertai Sabah FC. Bernama

Turut tersenarai bakal kekal di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee adalah pemain sayap kanan, Farhan Roslan yang kini telah menyumbang dua gol dan menghasilkan dua bantuan gol buat Sang Badak.

Selain itu, pemain bek kanan, Rizal Ghazali dan pemain sayap kiri import dari Indonesia, Saddil Ramdani juga disebut-sebut kekal bersama The Rhinos sekurang-kurangnya semusim lagi.

Tidak ketinggalan, pemain kegemaran ramai, Stuart Wilkin akan terus menambat hati peminat Sabah apabila namanya turut dikatakan ada dalam rekod pemain dikekalkan itu.

Bekas pemain Johor Darul Takzim itu pernah menyatakan hasrat untuk terus kekal di Sabah agar dapat meraih lebih banyak minit permainan.

Selain kelima-lima pemain itu, tonggak akhir benteng pertahanan Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat juga dengarnya terus diberi kepercayaan untuk menjaga gawang skuad Sang Badak pada musim depan.

Rata-rata penyokong Sabah FC berpuas hati dengan nama-nama pemain yang dikekalkan di Stadium Likas dan berharap supaya berita itu satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram