KEPUTUSAN seri 1-1 antara Sabah FC dan UiTM FC dalam saingan Piala Malaysia sudah cukup untuk pasukan Borneo itu untuk menempah slot ke suku akhir.
Kemaraan dengan agregat 3-2 itu pastinya mendatangkan kegembiraan kepada penyokong Sang Badak, sekali gus membuktikan peningkatan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.
Mereka selepas ini dijadualkan untuk berdepan kelab Liga Perdana, Kuching City FC pada Sabtu di Stadium Negeri Kuching sebelum perlawanan kedua di laman sendiri pada 11 November.
Penyokong pastinya mengharapkan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu untuk menurunkan barisan kesebelasan terbaik dalam menghidupkan peluang kemaraan mereka.
Namun, hasrat itu seakan-akan sukar untuk direalisasikan apabila pemain pertahanan kental mereka, Rawilson Batuil akan kempunan aksi dengan The Cats itu.
Perkara itu adalah kerana pemain berusia 28 itu sudah dilayangkan kad kuning sebanyak dua kali, sekali gus menyekat hasratnya untuk diturunkan Sabtu ini.
Rawilson sememangnya komponen penting buat Sabah FC apabila dia kerap diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten sekiranya Baddrol Bakhtiar tidak beraksi.
Gerald dilihat sebagai pengganti tepat buat Rawilson. — Instagram/geraldgadit
Selain itu, dalam aksi Liga Super, dia hanya tidak diturunkan sebanyak tiga kali yang membuktikan bahawa pemain tersebut sememangnya getir buat pasukan tersebut.
Oleh itu, kegagalan untuk menurunkannya ketika suku akhir Piala Malaysia itu pastinya mendatangkan kerisauan, bukan sahaja buat skuad malah kepada penyokong juga.
Statusnya sebagai anak jati Sabah juga menjulang namanya dengan dia dilihat sebagai satu figura penting yang berjaya mengharumkan nama negeri di bawah bayu itu.
Bagaimanapun, mereka kelihatan tidak terlalu gusar akan kehilangan itu apabila laman media sosial penyokong pasukan itu mula dibanjiri luahan dalam menggantikan Rawilson.
"Bagi saya, Gerald Gadit perlu diberi peluang berbanding mereka yang lain kerana dia lebih bagus walaupun jarang diturunkan selain dia perlu digandingkan dengan Dominic Tan," kata Robbie Roman.
"Saya percaya Datuk Ong Kim Swee perlu memberi kepercayaan kepada Gerald apabila kelasakan dan persembahannya sering mencuri tumpuan saya setiap kalui menyaksikannya," kata Pal Pon.
Musim ini, pemain berusia 23 tahun itu kurang diberi peluang untuk beraksi dengan dia hanya diturunkan sebanyak lima kali daripada 22 perlawanan Liga Super.
Perkara itu berkemungkinan kekurangan minit permainan dan pengalaman di benteng pertahanan yang mana ia merupakan salah satu kunci terhadap kemaraan pasukan itu.
Tetapi, dia yang juga merupakan anak jati Tenom, Sabah pastinya meningkatkan minat penyokong Sang Badak untuk melihat aksinya dengan lebih kerap bersama pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram