Lebih 3 tonggak utama berada dalam senarai kecederaan Sang Badak — OKS


  • Podium
  • Khamis, 10 Nov 2022

Ketiadaan beberapa pemain utama membimbangkan Kim Swee bagi menentang Kuching City. — Facebook/Sabah FC

SATU jaringan pada perlawanan pertama aksi suku akhir Piala Malaysia belum cukup memberi bekalan selesa buat Sabah FC menjelang pertemuan timbal balik menentang Kuching City di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat ini.

Pada perlawanan sebelum ini di Stadium Negeri, Kuching, Sabah FC menang tipis dengan jaringan 1-0 menerusi ledakan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Menjelang pertemuan kedua pada Jumaat, pastinya Skuad Badak akan tampil lebih bertenaga untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Tetapi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan bahawa skuad The Cats pasti akan hadir dengan cara permainan yang berbeza dan akan memastikan mereka pulang dengan keputusan positif.

"Saya percaya pasukan Kuching City akan hadir esok (Jumaat) dengan tempo atau intensiti permainan yang berbeza.

"Jadi kita perlu bersiap sedia dengan apa cara sekali cabaran. Terutamanya apabila pasukan yang datang akan memastikan mereka pulang dengan keputusan yang baik.

"Satu gol bukan bermakna kita dah layak, kita ada 90 atau 100 minit permainan untuk memastikan kita layak," katanya kepada Majoriti.

latihan

Sesi latihan Sabah FC menjelang perlawanan menentang Kuching City pada Jumaat ini. — Facebook/Sabah FC

Pengendali berusia 51 tahun itu menuntut agar anak-anak buahnya dapat mempertahankan kemenangan di Kuching pada tempoh hari bagi melayakkan mereka berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Kim Swee turut meluahkan kerisauannya mengenai perjalanan yang panjang untuk ke setiap perlawanan sehingga menyebabkan para pemain The Rhinos keletihan.

Bukan itu sahaja, ketiadaan beberapa pemain utama juga sedikit sebanyak membimbangkan Kim Swee bagi menghadapi perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia pada Jumaat ini.

Antara wajah-wajah utama yang tidak dapat beraksi menentang Kuching City nanti adalah tonggak pertahanan Dominic Tan, serta dua pemain tengah Park Tae-su serta dan Gary Steven Robbat.

"Kita ada ramai pemain yang mengalami kecederaan yang agak lama. Bukan sahaja Gary tapi Khairul Fahmi, Embalo, Jackson (Jackson de Souza) dan terbaharu Park (Park Tae-Su) Dominic (Dominic Tan) dan Nazirul Naim.

"Ini pasti membimbangkan dengan ramai pemain utama cedera. Tetapi kita mempunyai pemain lain. Saya percaya mereka mampu menggalas tugas dengan baik," jelasnya.

Skuad Sang Badak pastinya berharap untuk terus mara dalam kejohanan itu apabila mereka terlepas slot automatik ke pentas Asia selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram