[VIDEO] Persembahan gadis seksi bukan anjuran parti, wakil rakyat


  • Tular
  • Isnin, 14 Nov 2022

Tangkap layar seorang wanita seksi di atas pentas yang berlatar belakang kain rentang yang tertera wajah Izudin.

BERBAKI lima hari lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU15), pelbagai taktik kotor digunakan baik penyokong parti pembangkang mahupun kerajaan seperti menyebarkan fitnah dan tohmahan yang dilihat semakin galak dilakukan bagi memburukkan imej calon.

Antara taktik licik yang sering digunakan adalah dengan memanipulasi audio, video atau gambar calon yang bakal bertanding, sekali gus menimbulkan rasa benci terhadap pemimpin berkenaan.

Terbaharu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak menjadi mangsa keadaan apabila tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita seksi pada majlis yang dihadiri beliau.

Dalam video berkenaan, wanita itu kelihatan berada di atas pentas yang berlatar belakang kain rentang yang tertera wajah Izudin sebagai calon Setiawangsa.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Majoriti mendapati acara itu bukan anjuran pihak Izzudin ataupun parti BN.

Sebaliknya, beliau yang akan bertanding enam penjuru sekadar memenuhi jemputan ke jamuan anjuran Persatuan Perayaan Yi Lan di Sri Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ia dibuktikan apabila Izudin memuat naik video durasi 8.23 minit di Facebook rasmi miliknya yang memaparkan persekitaran sambutan majlis berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram