PENYERANG Manchester United (MU), Antony mempamerkan aksi nakalnya apabila meraikan gol penyamaan MU di hadapan pemain tengah Chelsea, Jorginho ketika masa tambahan.
Jorginho sebelum itu membuat Chelsea berkelebihan satu gol menerusi jaringan penaltinya sebelum disamakan Casemiro menerusi gol tandukan.
Kekalahan bukan pilihan buat MU selepas mempamerkan aksi cemerlang di Stamford Bridge dan disebabkan itu Antony melepaskan rasa tekanannya ketika meraikan gol pasukannya.
Sebaik jaringan penyamaan diperoleh, pemain berusia 22 tahun ini dengan selamba berlari ke arah Jorginho seolah-olah mahu menyatakan bahawa pasukannya mampu memberi saingan pada perlawanan itu.
Pemain antarabangsa Brazil itu memulakan kerjaya dengan baik di kelab baharunya selepas menandatangani kontrak pada hari terakhir pendaftaran. Dia menjaringkan tiga gol dalam enam penampilan pertamanya di Liga Perdana.
Sementara itu, bekas penjaga gol MU, Edwin van der Sar dalam satu temu bual baru-baru ini ada membincangkan kerjasama perniagaan antara Ajax dan MU.
Van der Sar kini adalah Ketua Eksekutif Ajax dan sepanjang musim panas, dia melihat bukan sahaja pengurus kelab Eredivisie tetapi juga dua pemain utama pasukan telah berlepas ke Old Trafford.
"Bagi kami, mereka perlu kekal untuk tempoh setahun lagi.
"Kami tidak terima ketika Arsenal datang untuk mendapatkan khidmat Lisandro. Kami berusaha keras untuk mengekalkannya.
"Daripada segi kewangan, memang keputussan itu sukar dibuat. Kami tahu ada minat tetapi sudah terlambat untuk mencari pengganti yang baik.
"Saya tidak fikir cara (Antony) mengendalikannya adalah cara betul, tetapi penting semua pemain yang meninggalkan Ajax berjaya kerana ia mencerminkan kami dengan baik
"Kami melihat kerja yang dilakukan oleh Erik apabila dia membuktikan dirinya sebagai jurulatih muda.
"Dia tidak pernah puas dan mahu mencapai kejayaan sebanyak mungkin," tambah bekas pemain nombor satu MU itu apabila ditanya mengenai permulaan Ten Hag di Old Trafford.
Prestasi Ten Hag amat mencabar bersama MU yang memulakan kempen 2022-23 dengan kekalahan berturut-turut menentang Brighton dan Brentford.
Namun, MU telah mendaki tangga liga hingga ke kedudukan nombor enam selepas mencatat kemenangan ke atas Liverpool, Arsenal dan Tottenham. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram