'Scout tolong kerja keras sikit', penyokong tak puas dengar 3 calon bintang baharu Sri Pahang


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Penyokong Sri Pahang mahu 'scout' kerja lebih keras untuk mencari pemain berkualiti musim depan. — Facebook/ Sri Pahang FC

PERJALANAN Sri Pahang FC dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 sudah menemui tanda noktah setelah mereka tewas di tangan Terengganu FC dengan agregat 3-9 pada pusingan 16 Piala Malaysia pada 1 November lalu.

Kini, skuad kendalian Datuk Dollah Salleh boleh memberikan sepenuh tumpuan untuk merombak kembali barisan pemain pasukan tersebut agar skrip berbeza dapat dicipta pada saingan Liga M musim depan.

Terbaharu, kelab dari Pantai Timur tersebut dilaporkan sudah berjaya menyunting tiga pemain iaitu penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz, penyerang Sarawak United, Shamie Iszuan dan penyerang import Penang dari Brazil, Lucas Silva.

Biarpun tiada pengumuman rasmi dari Sri Pahang FC, namum status Shamie sebagai pemain skuad Tok Gajah telah disahkan sendiri tuan badan apabila dia menjawab soalan penyokong menerusi akaun Instagram miliknya.

Tangkap layar pendedahan Shamie yang mengesahkan masa depannya dengan skuad Tok Gajah.

Menurut perbualan tersebut, pemain berusia 27 tersebut mendedahkan bahawa dirinya bakal menyarung jersi Kuning Biru setelah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama pasukan tersebut.

Pengesahan tersebut secara tidak langsung membuatkan penyokong bola tempatan berasa yakin dengan status dua lagi calon pemain baharu, Kalamullah dan Lucas yang setakat ini belum lagi memberikan sebarang 'hint'.

Bagaimanapun di sebalik respons positif, penyokong-penyokong Tok Gajah meluahkan rasa tidak gembira mereka menerusi laman Facebook Group Sri Pahang FC berkenaan pilihan barisan pemain Sri Pahang FC musim depan.

Setakat ini, Kalamullah dan Lucas masih belum beri sebarang respon berkenaan khabar angin tersebut.

Salah seorang penyokong, Mohamad Ridzal berpendapat ketiga-tiga pemain tersebut tidak cukup hebat untuk membantu Sri Pahang FC mencapai misi mereka pada 2023 nanti.

"Pemain-pemain taraf Baqiuddin Shamsudin juga korang (pengurusan) nak ambil. Pakat duduk di tangga ke-10 lagi la tahun depan ni," katanya.

"Carilah yang berkualiti. Scout Sri Pahang FC perlu kerja keras sikit supaya dapat membanggakan team dan peminat," jelas Mohd Suhairi.

Fuad Ambro menambah: " Ambillah pemain muda sikit. Lepas itu fokus pada bahagian pertahanan. Lucas dah 32 tahun, jarang main pula itu." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram