PJ City sah tidak bersaing musim depan, 'jualan' borong bakal bermula


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

PJ City FC menerima pujian ramai kerana meletakkan kepercayaan penuh ke atas pemain tempatan sebelum ini. — Agensi

MASA depan Petaling Jaya (PJ) City FC akhirnya disahkan apabila presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan pasukan itu tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan.

Perkara itu diumumkannya pada Jumaat selepas timbul khabar angin kebelakangan ini mengenai penyertaan pasukan Lembah Klang tersebut dalam format baharu yang diumumkan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Jelasnya, keputusan itu bukanlah disebabkan faktor kewangan dengan menegaskan PJ City FC sudah bergiat aktif dalam landskap bola sepak negara buat beberapa tahun.

The Phoenix musim lalu berjaya mengukuhkan kedudukan mereka antara pasukan konsisten dalam liga apabila menamatkan saingan di tangga kesembilan.

Selain itu, mereka turut menerima pujian penuh daripada penyokong tempatan keseluruhannya selepas meletakkan kepercayaan penuh ke atas wajah-wajah tempatan.

Perkhabaran itu pastinya menerima perhatian kelab-kelab Liga Malaysia dengan PJ City FC mempunyai barisan pemain tempatan berkualiti di setiap posisi.

Antara nama-nama yang sudah dikaitkan menjelang jendela perpindahan ialah penyerang, Darren Lok ke Sabah FC sementara penjaga gawang, Kalamullah Al-Hafiz dikatakan menarik minat beberapa pasukan.

Selain itu, Perak FC juga dikhabarkan sedang dalam usaha untuk memancing beberapa tonggak pasukan dengan Ruventhiran, S Chandran dan Raffi Nagoorgani dilihat mampu menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal ketua jurulatih The Bos Gaurus, Lim Teong Kim.

Pemain pertahanan veteran, Mahali Jasuli pula dikatakan sudah semakin hampir untuk menyertai anak-anak buah K Devan di Negeri Sembilan FC dalam usaha pasukan itu untuk meneruskan rentak mereka musim depan.

Tidak cukup dengan itu, pemain kebangsaan, R Kogileswaran dikaitkan dengan Penang FC sementara S Kumaahran berjaya menarik minat Sabah FC yang sedang meningkat naik di bawah Daruk Ong Kim Swee.

Pasukan kerdil Liga Perdana musim ini, UiTM FC juga tidak mahu terlepas untuk menyambar pemain PJ City FC dengan penjaga gol muda, Azfar Arif mampu menambah baik kualiti benteng pertahanan pasukan.

Dalam masa sama, Subahan berkata, dia juga mengamalkan sikap terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat untuk ambil alih pasukan tersebut selain berkongsi bahawa pihak pengurusan sudah mempunyai perancangan lain untuk musim depan.

Kelab Liga M3, Harini FT (dahulunya dikenali sebagai Batu Dua FC) dikatakan bakal menggantikan PJ City dalam aksi Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram