PJ City FC masih berteka-teki, CEO kata tunggu


  • Podium
  • Rabu, 09 Nov 2022

Aksi PJ City menentang JDT dalam saingan Piala Malaysia pada 26 Oktober lalu berkemungkinan adalah aksi terakhir kelab The Phoenix itu. — Facebook

PASUKAN Petaling Jaya City (PJ City FC) berisiko menjadi kelab seterusnya yang terkeluar daripada saingan Liga Super musim depan selepas Melaka United FC dan Sarawak United FC.

Menurut sumber, pemain dan jurulatih skuad The Phoenix itu diberitahu bahawa kelab tersebut mungkin ditutup selepas perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 26 Oktober lalu.

"Mereka memberitahu pemain bahawa kelab ditutup dan tidak akan bersaing dalam Liga Malaysia musim depan. Ini berita yang tiada siapa mahu dengar, tetapi itulah yang berlaku," kata sumber yang rapat dengan kelab itu.

Mengulas dakwaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, tiada maklumat rasmi mengenai penarikan kelab berkenaan.

Memetik laporan The Star, Stuart berkata, pihaknya masih menunggu maklumat terkini daripada pengurusan PJ City FC berhubung penutupan kelab itu.

“Dalam pertemuan terakhir saya dengan S. Ganesh (Ketua Pegawai Eksekutif PJ City), dia memaklumkan kelab itu akan meneruskan saingan Liga Super. Sekiranya terdapat perubahan, kami tunggu mereka untuk mengesahkan.

“Mereka mungkin mengadakan pertemuan dengan pengurusan atasan selepas Piala Malaysia mengenai beberapa keputusan namun MFL masih belum mendapat sebarang surat rasmi.

“Buat masa ini, saya tidak boleh membuat spekulasi. Jika kami mendapat keputusan rasmi, saya akan buat ulasan lanjut," katanya pada Rabu.

KUALA LUMPUR, Nov 8 -- Malaysia Football League (MFL) Chief Executive Officer Stuart Ramalingam during a press conference at Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) today.-- fotoBERNAMA (2022) COPYRIGHTS RESERVED

Stuart berkata, pihaknya masih menunggu maklumat terkini daripada pengurusan PJ City FC berhubung penutupan kelab itu.

Sekiranya PJ City menarik diri, saingan musim depan akan menyaksikan hanya 15 pasukan layak bertanding selepas Sarawak United dan Melaka United secara rasminya terkeluar berikutan tiada lesen kebangsaan untuk bersaing dalam liga.

Jumlah kelab yang bakal bersaing nampaknya lebih sedikit walaupun format baharu MFL pada musim depan bakal berwajah baharu dengan melibatkan 18 pasukan.

"Tiada masalah, 15 atau 16 pasukan setiap minggu perlawanan, setiap pasukan akan mendapat hari rehat. Ia tidak akan menjadi isu utama. Hanya dari segi format, bukan operasi.

“Dan tiada peraturan pun yang mengatakan mesti ada nombor ganjil atau genap dalam liga," jelasnya.

Pada masa sama, Stuart juga menegaskan bahawa pasukan liga M3 tidak boleh menggantikan kelab yang menarik diri daripada cabaran Liga Super musim depan.

“Liga kami berlesen. Kami tidak akan menggantikan kelab yang menarik diri dengan kelab amatur.

"Kelab-kelab itu mesti mempunyai pasukan belia dan simpanan. Kami tidak boleh sewenang-wenangnya menggantikan kelab kerana ia boleh menyebabkan liga tidak stabil," katanya.

Sementara itu, pengurusan PJ City FC dilaporkan berkata, pada mulanya kelab mencari pelabur untuk meringankan beban kewangan pemilik namun nampaknya perkara itu agak mustahil untuk direalisasikan.

S. Ganesh juga enggan mengulas mengenai perkara itu dan hanya memaklumkan, kenyataan akhbar akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Buat masa ini, saya tiada apa-apa untuk komen. Ada pertanyaan tetapi kami akan mengeluarkan kenyataan nanti," ujarnya.

Sejak mengambil alih MISC-MIFA pada 2019 dan menamakannya PJ City, kelab itu menduduki tempat kelapan dan memanjat tangga ketujuh pada 2020 dan 2021.

Pada tahun 2021, PJ City memutuskan untuk menampilkan pemain-pemain tempatan dan langkah itu dipuji oleh ramai penyokong.

Sejak memperkenalkan moto 'Yakini Lokal', pencapaian kelab itu boleh dibanggakan selepas beberapa pemain mereka beraksi untuk skuad kebangsaan antaranya Kalamullah Al-Hafiz (penjaga gol), Darren Lok (penyerang), V. Ruventhiran (pemain sayap) dan R. Kogileswaran (pemain tengah).

Musim ini, The Phoenix menamatkan saingan di tempat kesembilan Liga Super dengan 26 mata dan beraksi di pusingan 16 terakhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram