PENYOKONG Petaling Jaya (PJ) City tentu sahaja patah hati apabila berdepan dengan kemungkinan pasukan kesayangan mereka tidak lagi bertanding dalam Liga Super musim depan ekoran kemelut kewangan.
Tidak dinafikan perkara itu bakal menjejaskan jumlah penyertaan pasukan ke Liga Super memandangkan UiTM FC, Sarawak United dan Melaka United juga berdepan masalah sama.
Namun, situasi itu tidak melambangkan pengakhiran kepada pemain mahupun jurulatih yang selama ini mencurahkan sepenuh keringat untuk memastikan pasukan meraih kemenangan.
Setiap daripada mereka tentu sahaja memiliki pelbagai peluang lain untuk terus berada dalam arena sukan bola sepak.
Begitu juga dengan ketua jurulatih PJ City, Maniam Pachaiappan atau P. Maniam yang dikhabarkan mula diintai oleh dua pasukan lain iaitu Penang FC dan PDRM.
Tentu sahaja perkhabaran itu bagai memberi nafas baharu untuk melihat strategi P. Maniam mengendalikan pasukan baharu.
Pasukan PJ City berkemungkinan akan kehilangan P.Maniam.
Khabar itu dinyatakan oleh seorang pemerhati sukan, T.Avineshwaran di Twitter.
“Difahamkan Pulau Pinang dan PDRM FC berminat untuk mengambil P.Maniam sebagai jurulatih untuk cabaran Liga Super musim depan,” katanya.
Melihat kepada situasi itu beberapa pihak mula memberikan sokongan masing-masing antara kedua-dua pasukan itu.
“Lebih baik Penang yang ambil,” kata Zulfikri Khari.
“Nampak macam Penang, tetapi mungkin boleh beri peluang kepada PDRM,” kata JoRizz_90
“Penang mungkin, PDRM pun mungkin. Ikut suka hendak yang mana,” kata Zico Zidan.
P. Maniam mempunyai rekod yang baik sepanjang mengendalikan PJ City yang dibarisi pemain-pemain tempatan.
Dia berjaya menempatkan pasukan Lembah Klang itu dalam kelompok 10 pasukan terbaik selama dua musim berturut-turut walaupun terpaksa bersaing dengan kelab yang memiliki pemain import.
Sebagai rekod, pengendali berusia 54 tahun itu pernah mengendalikan Selangor FC dan AirAsia Allstars. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram