'Mesin cetak gol' — 5 sebab kenapa Selangor, Sabah malah JDT perlu sambar Darren Lok


  • Podium
  • Isnin, 07 Nov 2022

Darren Lok muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan dengan 10 gol sepanjang musim ini setakat ini. — Facebook/PJ City FC

JUMLAH 10 gol dan dua bantuan dalam saingan Liga Super sudah cukup untuk menjulang nama penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok sebagai penjaring terbanyak tanah air.

Tidak cukup dengan itu, sumbangan dan kehadirannya dalam pasukan juga berjaya menarik minat penyokong bola sepak tempatan apabila dia jarang mengecewakan setiap kali beraksi di atas padang.

Selain itu, prestasi membanggakan musim ini juga membolehkannya diturunkan dengan lebih kerap bersama skuad Harimau Malaya dengan ketua jurulatih, Kim Pan-gon meletakkan kepercayaan penuh terhadapnya.

Namun, masa depannya bersama The Phoenix mula dipersoalkan apabila kuat khabar angin bertiup di media sosial yang mengaitkan pemain kacukan England-Malaysia itu dengan penghijrahan keluar.

Darren LokEastbourne Borough FC (3) v Hayes & Yeading United FC (1) The Skrill South, Priory Lane, Monday 21 April 2014 Eastbourne Borough FC goals scored by James Stinson 29m, Simon Johnson 52m & Darren Lok 88m. Hayes & Yeading United FC goal scored by Pat Cox 54m. The Sports MoM Simon Johnson.  Referee Mr C Hatzidakis

Darren Lok pernah mengumpul pengalaman di divisyen bawahan bola sepak England. Agensi

Berita itu dikuatkan dengan perkongsian daripada isterinya menerusi Facebook yang mengatakan mereka sekeluarga sedang mencari kediaman baharu di Sabah.

Perkara itu seakan-akan cukup untuk mengesahkan ura-ura itu dengan dia dilihat sudah memilih skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sebagai destinasi baharunya.

Bagaimanapun, semua pihak masih memilih untuk mengunci mulut, lebih-lebih lagi pihak pengurusan Sang Badak yang ketika ini masih memberi sepenuh perhatian terhadap saingan Piala Malaysia.

Baru-baru ini, timbul satu lagi khabar angin yang mengatakan Selangor FC pula berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 31 tahun itu dalam usaha mereka menambah baik jentera serangan.

Berita itu dilihat berjaya mendatangkan sedikit kegembiraan kepada penyokong Gergasi Merah selepas prestasi penyerang import, Herlison Caion dipersoalkan sepanjang musim.

Persoalannya, apakah kualiti dan kemampuan yang dimiliki Darren Lok sehingga beberapa pasukan Liga Super mula bertarik tali untuk membawanya masuk ketika jendela perpindahan akan datang?

1. Kuota pemain tempatan

Seperti yang dibincangkan awal tadi, 10 jaringan yang disumbang tonggak The Phoenix itu sudah memadai untuknya membawa pulang anugerah penjaring terbanyak tempatan.

Ciri-ciri itu dilihat sebagai salah satu elemen utama di sebalik minat yang ditunjukkan beberapa kelab Liga Malaysia ketika membincangkan mengenai kebolehan Darren Lok.

Meskipun pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah mengumumkan sebanyak sembilan kuota import bakal diperkenalkan musim depan, mereka pastinya lebih berminat untuk memperkukuhkan posisi lain dengan wajah-wajah import.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 19.33.44

Status warganegara Darren Lok membuka mata pihak pengurusan pasukan Liga Malaysia. Instagram/darrenlok14

Selain itu, status kewarganegaraan Darren Lok juga pastinya tidak menyukarkan proses pendaftaran pemain, lebih-lebih lagi apabila dia sudah bergelar pemain tempatan sejak 2016.

Bagi Selangor FC, kegoyahan di benteng pertahanan semestinya mahu diperkukuhkan dengan pemain import yang mempunyai struktur fizikal tegap dan mampu menyekat serangan lawan.

Sabah FC yang juga dikaitkan dengan Darren Lok juga pastinya tidak mahu mensia-siakan kuota itu apabila mereka mula berhasrat untuk mendapatkan pemain tengah untuk digandingkan bersama seorang lagi import, Park Tae-su.

2. Menambah baik jentera serangan

Perubahan struktur Liga Super bakal menyaksikan sebanyak 16 pasukan berentap, sekali gus meningkatkan jumlah perlawanan kepada 30 berbanding 22 ketika ini.

Format baharu itu semestinya menambah beban kepada barisan pemain yang terpaksa mengerah keringat sepanjang musim sekiranya berhasrat untuk mencabar mahkota milik Johor Darul Takzim (JDT).

Oleh itu, setiap pasukan pasti mahu menambah kualiti dan kuantiti tonggak di setiap posisi dengan penyerang pastinya tidak terkecuali untuk ditambah baik.

281002553_1431043580662281_2177769324391831481_n

Perlukah nama Darren Lok diperkenalkan lagi kepada peminat bola sepak tempatan? Facebook/PJ City FC

Jendela perpindahan yang bakal dibuka hujung tahun ini seharusnya menjadi tumpuan pihak pengurusan untuk membawa masuk wajah baharu dalam usaha mencerahkan peluang pasukan tersendiri.

Skuad Gergasi Merah pastinya meletakkan jentera serangan sebagai agenda utama selepas mereka gagal untuk mencari seseorang yang mampu meringankan tanggungjawab yang dipikul Caion.

Bagi Sabah pula, ketandusan penyerang juga pastinya mendesak pihak pengurusan untuk tidak teragak-agak untuk membawa masuk penyerang prolifik dalam usaha menggantikan Jose Embalo.

Jadi, Darren dilihat sebagai satu pilihan tepat buat mana-mana pasukan selepas kemampuannya di hadapan pintu gol sudah terbukti dalam kesemua 20 aksi Liga Super musim ini.

Namun, persoalannya, mampukah bekas pemain Terengganu FC dan Johor Darul Takzim itu berpuas hati dengan status 'pemain simpanan' selepas dia kerap beraksi sepanjang 90 minit permainan?

3. Gaji pemain tempatan

Berdasarkan laman sesawang transfermarkt, kontrak Darren Lok bersama skuad The Phoenix bakal ditamatkan hujung musim ini selepas hampir dua musim menabur bakti bersama pasukan itu.

Oleh itu, ia membuka pintu yang lebih luas kepada beberapa pasukan Liga Malaysia lain apabila mereka tidak perlu membayar wang pampasan kepada pasukan tersebut ketika jendela perpindahan.

Bagaimanapun, sekiranya pasukan tersebut menunjukkan minat terhadap Darren, rundingan mengenai permintaan gaji pastinya tidak membebankan berbanding pemain import.

Umum mengetahui bahawa kelab-kelab Liga Malaysia pernah terjerat dengan isu tunggakan bayaran bulanan seperti Melaka United dan Sarawak United yang dibintangi pemain import.

Perkara itu pasti berlaku atas kegagalan pihak pengurusan masing-masing untuk mengenal pasti struktur kewangan tersendiri sehingga terpaksa menangguhkan pembayaran gaji.

Selain Selangor FC, JDT juga dilihat tidak mempunyai masalah untuk membayar gaji pemain apabila mereka mempunyai pelaburan besar dan sumber kewangan yang kukuh.

Namun, mereka pastinya tidak mahu terus menanggung bebanan besar itu dan status Darren Lok sebagai pemain tempatan pasti membolehkan Sabah FC, JDT dan Selangor FC menyambar khidmatnya musim depan.

4. Pengalaman dan usia

Sejak mendapat panggilan pertamanya bersama skuad kebangsaan pada 2016, Darren Lok berjaya mengukuhkan namanya dalam pasukan selepas dia tampil dalam 14 perlawanan antarabangsa.

Tidak cukup dengan itu, kemampuannya turut diserlahkan bersama skuad Harimau Malaya apabila dia berjaya menjaringkan dua gol walaupun peluangnya sedikit terbatas.

Pencapaian itu dilihat sebagai salah satu sebab utama di sebalik minat yang ditunjukkan dengan pengendali pasukan masing-masing pasti mahu pengalaman berharga tersebut dicurahkan.

Darren-Lok-5

Darren Lok merekodkan 14 penampilan bersama skuad Harimau Malaya. Facebook/Team Malaysia

Walaupun perkara itu tidaklah memberi kesan besar terhadap kemampuan dan sumbangannya dalam sesebuah pasukan, kehadirannya dalam bilik persalinan pasti membawa perubahan ketara.

Bagi Selangor FC, lambakan pemain muda pasti memerlukan sentuhan seorang pemain senior dan tanggungjawab itu musim ini diletakkan di bahu kapten pasukan, Brendan Gan.

Perkara itu serba sedikit menyekat peningkatan bakat baharu apabila mereka gagal untuk menyesuaikan diri, sekali gus merencatkan keserasian yang cuba dibina.

Oleh itu, sekiranya Darren Lok berjaya dipikat ketika jendela perpindahan akan datang, Selangor FC pasti berjaya melangkah ke tahap seterusnya dengan satu figura kepimpinan berkualiti.

5. Gandingan bersama rakan sepasukan

Sekiranya diteliti skuad Harimau Selatan, mereka dibanjiri pemain tempatan seperti Arif Aiman Hanapi dan Safawi Rashid yang juga merupakan tonggak JDT dan pasukan kebangsaan.

Cuma, jika diukur menerusi sentimen peribadi, amat jarang pemain menyertai semula bekas pasukan, jadi untuk menyaksikan Darren kembali ke pangkuan JDT dilihat agak tipis berbanding Sabah dan Selangor.

Bagi Sabah FC pula, beberapa pemain, seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat merupakan bekas tonggak skuad kebangsaan satu ketika dahulu.

Perkara itu pasti menjadi satu kelebihan buat Darren Lok apabila dia tidak perlu gusar untuk memahami gaya permainan masing-masing selepas pernah bergandingan di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 19.35.50

Keserasian atas padang bukanlah satu isu buat Darren Lok. Instagram/darrenlok14

Selain itu, ketua jurulatih pasukan masing-masing juga perlu menggunakan kesempatan tersebut dengan keserasian yang pernah dicipta mampu menyuntik perubahan.

Oleh itu, sekiranya Darren diberi pilihan untuk mencari angin baharu dalam kariernya, dia tidak perlu bimbang dengan kesukaran untuk mencari keserasian apabila mereka pernah beraksi bersama-sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram