PJ City dan UiTM FC enggan 'kibar bendera putih', mahu kekal dalam Liga Super musim depan


  • Podium
  • Selasa, 08 Nov 2022

PJ City dan UiTM menyatakan komitmen untuk terus bersaing dalam Liga Super musim depan. — Facebook/UiTM FC

SELEPAS kelab bola sepak Sarawak United dan Melaka United sah tidak dibenarkan beraksi pada saingan Liga Super 2023, kini timbul ura-ura dua lagi pasukan iaitu Petaling Jaya (PJ) City dan UiTM bakal menarik diri.

Perkembangan itu dilihat mampu menjejaskan usaha penstrukturan saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang sebelum ini menyasarkan penyertaan 18 pasukan dengan objektif menawarkan minit permainan lebih tinggi dan jumlah perlawanan kompetitif lebih banyak, selain meningkatkan nilai komersial saingan itu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata, berdasarkan pertemuan bersama kedua-dua pasukan itu baru-baru ini, PJ City dan UiTM menyatakan komitmen untuk terus bersaing.

"Setakat ini saya belum dapat apa-apa maklumat rasmi mengenai penarikan diri (kedua-dua pasukan). Kita berhubung dengan semua pasukan dan berharap mereka akan sahkan penyertaan sebelum hujung Disember, tapi pada masa ini ada dua pasukan sahaja yang mungkin semua tahu dalam situasi 50-50 iaitu UiTM FC dan PJ City.

"Setakat ini kita telah berjumpa dengan kedua-dua pengurusan dan mereka kata akan teruskan,” katanya sambil mengakui terdapat pelbagai khabar angin baharu berkaitan perkara itu selepas pertemuan dengan kedua-dua pasukan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran set koleksi setem khas sempena Piala Malaysia 2022 oleh Pos Malaysia dan MFL di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, di ibu negara pada Selasa.

Ketika ditanya apakah kekangan yang dihadapi PJ City dan UiTM untuk terus bersaing berdasarkan perbincangan yang dibuat, Stuart bagaimanapun enggan mengulas.

Sebelum ini, Sarawak United dan Melaka United terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super 2023, selepas rayuan mereka untuk memohon lesen kebangsaan ditolak sekali gus menjadikan hanya 16 pasukan bakal bersaing musim depan.

Stuart berkata, Liga Super musim depan akan tetap berjalan meskipun berlaku lagi pengurangan dari segi jumlah penyertaan pasukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tarikh perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2022 masih kekal pada 20 November manakala venue bagi aksi final setakat ini kemungkinan besar dilangsungkan di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram