SEPERTI memarakkan lagi api kemarahan penyokong, itu adalah situasi yang boleh menggambarkan tindakan pemain sayap Kelantan FC, Jasmir Mehat selepas memberi jawapan balas kepada peminat tegar The Red Warriors (TRW).
Pada Sabtu lalu, pemain berusia 28 tahun itu dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan pusingan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Selepas aksi yang berakhir dengan Kelantan ditewaskan 0-3 di tangan skuad Harimau Selatan itu, sikap Jasmir terus sahaja dikritik oleh para penyokong Kelantan.
Pemain kelahiran Melaka itu dilihat membalas komen penyokong TRW selepas sesetengah penyokong Kelantan dilihat cuba mendakwanya melakukan kekasaran kepada JDT.
“Berhenti main bola pergi main muay thai, tak pro langsung, ada bakat tapi mental koyak,” antara komen yang diberikan penyokong kepadanya.
“Muay thai apa yang aku keluarkan bro? Cuba tunjuk mana satu? Aku tengok tak jumpa ni,” jelas pemain itu.
Antara aksi Jasmir (kiri) sewaktu perlawanan menentang JDT pada Ahad lalu.
Rata-rata penyokong tidak suka cara Jasmir mengawal emosinya ketika bermain dan mereka berasa tindakannya itu hanya merugikan kariernya.
Mengulas mengenai insiden yang berlaku kepada pemain sayap itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya tampil memberikan nasihat kepada Jasmir.
Menurutnya, Jasmir seharusnya bijak mengawal emosi terutamanya ketika perlawanan sedang berlangsung.
“Saya tidak nak keruhkan keadaan dan nasihat saya supaya setiap pemain bijak untuk mengawal emosi dalam situasi tekanan,” katanya ringkas kepada Majoriti.
Jurulatih berusia 44 tahun itu enggan mengulas lebih lanjut mengenai situasi yang menimpa Jasmir itu.
Berikutan kad merah yang diberikan kepada pemain sayap TRW itu, Rezal Zambery terpaksa melupakan hasratnya untuk menurunkan Jasmir pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 November nanti.
Selain Jasmir, Rezal Zambery juga berkemungkinan tidak dapat menggunakan khidmat penyerang berbisa TRW, Nurshamil Abd Ghani kerana kecederaan yang dialaminya.
“Shamil masih belum sembuh. Kita ada beberapa hari lagi nak tengok keadaan Shamil sama ada dia semakin pulih ataupun sebaliknya,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram