Sharmiza Yusof jadi hero TFC, masih 'on form' walaupun jarang turun padang


  • Podium
  • Isnin, 07 Nov 2022

TFC terpaksa bermain dengan 10 orang apabila penjaga golnya dilayangkan kad merah. — Facebook

SUKU akhir Piala Malaysia terus dimeriahkan dengan saingan antara empat pasukan yang mengharungi perlawanan pada Ahad.

Naib juara Liga Super, Terengganu FC (TFC) meraih bekalan tipis apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Selangor FC pula berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0.

Menerusi aksi suku akhir itu, TFC dan NSFC terpaksa bermain dengan 10 orang apabila ada pemain yang dilayangkan kad merah.

NSFC kehilangan khidmat tonggak pertahanannya, Herold Goulon selepas menerima kad merah selepas mengasari pemain Selangor, Shahrul Nazeem.

313336529_1590375901393085_7199863925197412193_n

Suhaimi dilayangkan kad merah kerana mengasari Romel Morales pada minit ke-62.— Facebook

Skuad Sang Penyu pula menerima nasib malang selepas penjaga gol, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah kerana mengasari Romel Morales pada minit ke-62.

Keadaan itu menyaksikan pengendali TFC, Nafuzi Zain terpaksa mengeluarkan Faiz Nasir bagi membawa masuk penjaga gol baharu, Shamirza Yusof.

Meskipun jarang diturunkan, Sharmiza mendapat pujian daripada penyokong kerana mempamerkan aksi yang cukup memukau kerana berjaya menyelamat gawang TFC daripada dirobek The City Boys.

Seorang penyokong TFC, Hafiz Haron berasakan, Sharmiza mempamerkan aski cemerlang ketika menggantikan tempat Suhaimi.

"Otai legend yang tak didendang. Keeper mantap dan setia bersama Terengganu," kata Alif Rokman.

"Jarang-jarang main tapi bila main memang tak pernah mengecewakan," ujar Shahrul Nizam pula.

313380073_241884554835451_7822473563449310669_n

Sarmiza berjaya menyelamat gawang TFC daripada dirobek The City Boys. — Facebook

Ahmad Muzaffar pula berpendapat, Sharmiza menjadi penyelamat pasukan TFC daripada dibolosi dalam aksi suku akhir itu.

"Nasib dok (tak) gol tadi... ada dua peluang keemasan KL sejurus Suhaimi kena kad merah. Sharmiza jadi penyelamat," katanya.

Aksi suku akhir kedua Piala Malaysia akan dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Sabtu depan.

TFC di bawah bimbingan Nafuzi kini dalam misi memburu Piala Malaysia selepas bergelar naib juara dalam dua pertandingan berbeza iaitu Piala FA dan Liga Super.

Sang Penyu dikecewakan oleh lawan sama, Johor Darul Takzim (JDT) dalam kedua-dua kejohanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram