PEMAIN muda Sabah FC, Azhad Harraz Arman sememangnya satu nama yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak Negeri Di Bawah Bayu.
Pemain berusia 19 tahun itu memulakan karier bersama bintang Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi sewaktu bergelar pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan ketika dia bersama pasukan FAM-MSN apabila mengumpul lapan gol dalam 20 penampilannya pada musim lalu.
Pada musim sama, dia dicalonkan bagi anugerah penyerang terbaik dan anugerah pemain muda terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan FAM 2021.
Namun, prestasi pemain dengan ketinggian 1.71m dilihat tidak begitu memberangsangkan sehingga ada penyokong Sabah FC, Budak Kampung menerusi halaman Facebook Official Sabah yang mempersoalkan prestasinya.
"Mungkin jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) boleh bagi peluang muka baharu seperti pemain muda simpanan lain untuk dinaikkan ke skuad utama Sabah FC musim depan bagi menggantikan Azhad.
"Sepanjang kempen Liga Super dan Piala Malaysia tidak ada peningkatan langsung. Sayang peluang yang ada disia-siakan. Cuba muka baharu, mesti ada yang lebih baik," katanya.
Sahrizan Saidin atau lebih dikenali sebagai Toto antara nama yang dipetik penyokong untuk menggantikan Azhad. — Gambar Facebook/SabahFC
Malah ada juga peminat Malki Ciko, yang mencadangkan Azhad digantikan pemain lain seperti Sahrizan Saidin.
Untuk rekod, pemain muda yang menggalas tugas sebagai penyerang untuk skuad The Rhinos itu tidak mencatatkan sebarang gol dalam 11 penampilannya setelah hanya mengumpul 93 minit permainan pada musim ini.
Walaupun begitu, ada penyokong Sabah FC, Rayden Nick yang mencadangkan agar pemain muda itu dipinjamkan ke kelab bola sepak yang lain untuk menimba ilmu dan pengalaman.
Namun, timbul pula persoalan mengenai destinasi yang sesuai buatnya dalam menajamkan semula deria penyudah di depan pintu gol lawan serta meningkatkan pengalamannya dalam sukan itu.
Jika dilihat, kelab-kelab pasukan yang giat mengasah bakat pemain muda dalam arena bola sepak tanah air adalah seperti Perak FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDAFC).
Ketika ini Perak FC sedang giat merekrut pemain-pemain muda dari seluruh negara.
Perak FC giat menandatangani pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan menghadapi saingan Liga M musim depan. — Gambar Facebook/PerakFC
Ia adalah seiring dengan hasrat jurulatihnya, Lim Teong Kim yang mahu memberi lebih tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import dalam kancah Liga Malaysia musim hadapan.
Antara pemain muda yang menyertai The Bos Gaurus (TBG) ialah Harith Naem dan Ilham Aqil selepas masing-masing dibawa masuk dari Melaka United dan Projek FAM-MSN.
Selain itu, skuad The Red Giants juga dilihat 'memancing' bakat-bakat muda yang berpotensi besar untuk menyertai pasukan mereka.
Antara pemain muda yang menimba pengalaman menyertai Selangor FC ialah Sharul Nazeem, Ahmad Danial Asri dan Aliff Haiqal Lau.
KDA FC pula yang sinonim melahirkan ramai 'ubi muda' turut menggilap bakat seperti Aiman Afif, Afeeq Ikmal, Kamil Akmal, Heshamudin Ahmad dan Fareez Amirul.
Jika Azhad dipinjamkan kepada mana-mana antara tiga kelab ini musim depan, ia pastinya memberikan lebih minit permainan sekali gus mengasah bakatnya sebelum kembali ke Sabah FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram