Caion, Aliff Haiqal pastikan Selangor raih bekalan selesa, Goulon bikin skuad Jang merana


  • Podium
  • Ahad, 06 Nov 2022

Caion menjadi wira Selangor FC selepas mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-56. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC berjaya membawa bekalan berharga dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2022 selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.

Kemenangan yang dicatatkan menerusi jaringan penalti penyerang import, Herlison Caion pada minit ke-56 sudah cukup untuk mencipta perbezaan antara kedua-dua pasukan sebelum Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menggandakan kelebihan Gergasi Merah apabila meledak gol kedua pada penghujung perlawanan, sekali gus menjamin bekalan selesa pada aksi kedua Piala Malaysia di tempat lawan selepas ini.

Bagaimanapun, di sebalik pertembungan hangat itu, nama pertahanan skuad Jang, Herold Goulon pasti meniti bibir penyokong bola sepak yang menyaksikan perlawanan itu.

Selepas kelihatan sedikit leka dalam kotak penalti sendiri, pemain bersusuk tegap itu gagal menenangkan keadaan selepas hantarannya berjaya dipintas pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar.

Menyedari kesilapan yang dilakukan, Goulon bertindak mengasari pemain muda itu sebelum penalti diberikan pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaacob.

Peluang keemasan itu tidak disia-siakan Caion selepas sepakannya gagal dibaca penjaga gol skuad Jang, Syihan Hazmi, sekali gus memecahkan kebuntuan kedua-dua pasukan.

Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 12 November dengan Negeri Sembilan pastinya tidak mahu mengibar bendera putih terlalu awal, sekali gus memastikan peluang menjadi semifinalis Piala Malaysia masih belum tertutup buat NSFC.

Sementara itu dalam satu lagi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada Ahad, Terengganu FC menang tipis 1-0 ke atas juara bertahan, KL City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram