Dapat 2 tawaran, tetapi hati P Maniam masih di PJ City


  • Podium
  • Khamis, 03 Nov 2022

Maniam berpuas hati dengan kemampuan dan persembahan anak-anak buahnya musim ini. — Facebook/PJ City FC

WALAUPUN Petaling Jaya (PJ) City FC menamatkan Liga Super di kedudukan kesembilan, ia tidak menghentikan peminat bola sepak tanah air untuk memberi pujian kepada pasukan itu.

Keputusan The Phoenix untuk menggunakan pemain tempatan dilihat memberi peluang kepada mereka apabila pasukan lain menaruh harapan tinggi terhadap wajah-wajah import.

Namun, baru-baru ini, timbul satu perkhabaran bahawa pasukan itu bakal dibubarkan atau mengalami perubahan struktur selepas dikatakan tidak menerima pelaburan baharu.

Meskipun pemilik pasukan, Vijay Eswaran sudah menepis khabar angin itu, perkara tersebut gagal untuk menghalang ura-ura tersebut daripada terus berlegar di media sosial.

vijay-eswaran-pj-city-fc-735x400-734x367

Pemilik PJ City itu menepis khabar angin berkaitan masa depan kelab Lembah Klang itu. Agensi

Berita tidak rasmi itu disusuli dengan perkhabaran bahawa beberapa pemain bakal disambar pasukan Liga Malaysia lain, termasuk Darren Lok dan V Ruventhiran.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga khabar angin mengatakan ketua jurulatih, P Maniam mula dirisik selepas kejayaannya untuk membimbing pasukan kerdil tersebut.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa dia terbuka untuk kekal di PJ City FC selain berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya sepanjang musim lalu.

"Ya, saya masih beminat untuk kekal kerana saya berasakan saya sangat senang ketika bekerja dengan pemain tempatan sudah bertambah baik beberapa musim kebelakangan ini.

"Kalau kita bandingkan dengan musim sebelum itu, kita berjaya kumpul dengan lebih banyak selain kita juga berjaya membuat banyak kejutan," katanya kepada Majoriti.

Namun, bekas ketua jurulatih Selangor FA itu juga tidak menolak perkhabaran bahawa khidmatnya mula ditagih pasukan tempatan lain selepas dua musim bersama PJ City FC.

"Ada, ada dua pasukan memberi tawaran kepada saya," katanya ringkas.

311603927_1535990426834262_6767929742859862405_n

PJ City hanya menggunakan pemain tempatan musim ini. Facebook/PJ City Fc

Tetapi, dia tidak mahu memberi sebarang gambaran akan perkhabaran itu dengan melihat ia masih belum dirasmikan daripada mana-mana pihak.

Maniam sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke utara tanah air apabila Kedah Darul Aman FC dikatakan berminat untuk menjadikannya pengendali selepas ini.

Dalam masa sama, pengendali berusia 54 tahun itu juga sempat menyampaikan ucapan penghargaan di atas pihak pengurusan dan pemain yang jarang mengecewakan dalam setiap perlawanan.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pentadbiran dan pemain kerana walaupun mereka pemain tempatan, mereka percaya kepada diri sendiri dan rakan sepasukan," katanya.

Selepas 22 perlawanan Liga Super, skuad The Phoenix berjaya mengumpul 26 mata dengan merekodkan enam kemenangan dan hanya dibolosi sebanyak 30 kali, membuktikan keutuhan benteng pertahanan mereka.

Dalam kempen Piala Malaysia pula, mereka gagal untuk menempah slot ke suku akhir selepas disingkirkan juara Liga Super, Johor Darul Takzim dengan agregat 0-6. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram