Selepas Darren Lok, Sabah sedia borong 2 lagi pemain termasuk figura buruan JDT


  • Podium
  • Rabu, 02 Nov 2022

Penyokong Sabah FC menyambut baik khabar angin Darren ke dalam skuad The Rhinos musim depan. — Instagaram/Darren

DESAS-DESUS yang mengaitkan penyerang kebangsaan, Darren Lok ke Sabah FC semakin hangat diperkatakan meskipun belum ada kenyataan rasmi dari pemain itu mahupun pihak pengurusan The Rhinos sendiri.

Perkara itu dikukuhkan lagi selepas satu status yang dimuat naik oleh isterinya di laman hartanah Sabah bahawa mereka sedang mencari kediaman di sekitar Kota Kinabalu.

Bukan itu sahaja, khabar angin yang mengatakan bahawa kelabnya kini, Petaling Jaya (PJ) City FC bakal ditutup juga menguatkan lagi ura-ura tersebut.

Selepas nama pemain kacukan Cina-Inggeris itu disebut-sebut bakal ke Sabah FC, timbul lagi khabar angin baharu yang mengatakan bahawa rakan sepasukannya dan seorang pemain kebangsaan bakal menyarung jersi Sang Badak pada musim depan.

Pemain yang dimaksudkan ialah tonggak sayap The Phoenix, S. Kumaahran dan pemain warisan Malaysia, Dion Cools.

Khabar angin itu timbul selepas laman penyokong Sabah FC, Official Sabah FC Fans Club 2022 berkongsi satu poster mengenai 'rumour' perpindahan dua pemain itu

Screenshot 2022-11-02 at 4.46.42 PM

Kumaahran mula menyertai PJ City pada musim 2022. — Agensi

Selepas Darren, Kumaahran merupakan antara watak penting dalam jentera serangan skuad PJ City dan bersama pasukan itu dia berjaya menyumbang empat gol sepanjang kempen Liga Super 2022.

Jika benar khabar angin pemain berusia 26 tahun itu bakal ke Sabah FC, dia boleh menggantikan Saddil Ramdani yang kini dikaitkan dengan perpindahan dengan beberapa kelab di Eropah.

Sementara itu, desas-desus mengenai Cools pula amat diimpikan oleh penyokong Sabah FC berikutan pengalamannya bermain di kelab Eropah dan kepakarannya dalam menjaga benteng pertahanan.

Pemain yang kini bermain bersama kelab Liga Utama Czech, FK Jablonec itu merupakan watak penting dalam skuad kebangsaan yang membantu Harimau Malaya ke Piala Asia 2023.

Khidmat pemain berusia 26 tahun itu ke Sabah FC sangat diperlukan terutamanya selepas salah satu tonggak pertahanan The Rhinos, Jackson de Souza sering mengalami kecederaan.

Screenshot 2022-11-02 at 4.51.35 PM

Cools merupakan watak penting dalam membantu Harimau Malaya ke Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

Bagaimanapun, misi membawa masuk Cools bersama skuad The Rhinos mungkin mengalami kesukaran berikutan pemain itu sudah berada dalam radar pemenang Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT).

Sebelum ini, Cools dikaitkan dengan perpindahan ke JDT yang mana pemilik kelab iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan bahawa pemain itu mempunyai keinginan tinggi untuk menyarung jersi pasukan terbabit.

Apa-apapun, penyokong hanya perlu menunggu pengumuman rasmi dari pihak pengurusan Sabah FC mengenai pemain baharu yang bakal memperkukuh The Rhinos pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram