SUDAH menjadi lumrah dalam dunia bola sepak apabila setiap kali menjelang jendela perpindahan, pasti terdapat pelbagai khabar angin yang mengaitkan penghijrahan pemain.
Meskipun perkara itu tidak disahkan daripada mana-mana pihak, ia seakan-akan memberi keghairahan kepada penyokong yang melihat episod baharu yang bakal dilalui pasukan masing-masing.
Baru-baru ini, timbul satu khabar angin kencang mengaitkan perpindahan pemain Harimau Malaya, Darren Lok yang mengatakan dia sudah memilih Sabah FC sebagai destinasi karier baharunya.
Perkara itu dikuatkan dengan satu hantaran di laman Facebook isterinya yang mengatakan bahawa mereka sedang mencari kediaman baharu sekitar negeri di bawah bayu itu.
Musim ini, sumbangannya di hadapan pintu gol cukup ditagih Petaling Jaya (PJ) City FC dalam usaha mereka untuk kekal dalam saingan Liga Super tahun depan.
10 gol dan dua bantuan yang dihasilkan sepanjang musim sememangnya penting buat skuad The Phoenix, lebih-lebih lagi apabila pasukan tersebut tidak mempunyai pilihan pemain berkualiti yang ramai.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya khidmatnya mula diburu pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bagi membolehkan mereka bersaing di samping gergasi Liga Malaysia.
Walaupun perkhabaran itu menimbulkan minat dalam kalangan penyokong, masih terdapat segelintir penyokong Sang Badak yang mula menolak ura-ura tersebut.
Hal itu adalah kerana beberapa sebab dengan mereka berpendapat seseorang lebih muda dan prolifik di hadapan pintu gol sepatutnya diburu skuad Sang Badak.
Jadi, melihat kepada beberapa luahan dan kemungkinan itu, Majoriti menyenaraikan beberapa kebaikan dan keburukan sekiranya perpindahan itu sah dimeterai apabila jendela perpindahan dibuka kelak.
Pro
1. Ketumpulan barisan serangan
Tidak boleh dinafikan bahawa kehadiran Kim Swee sebagai ketua jurulatih The Rhinos berjaya mengubah takdir pasukan sehingga membolehkan mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.
Penambahbaikan yang berjaya dibawa bekas pengendali Harimau Malaya itu jelas dirasai dan prestasi itu pastinya diharapkan untuk terus dikekalkan musim depan.
Ketika ini, sekiranya satu analisis dibuat terhadap pasukan Borneo itu, mereka mempunyai satu skuad yang lengkap baik di posisi pertahanan mahupun serangan.
Ketumpulan Embalo di hadapan pintu gol dianggap mengecewakan. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, sekiranya diperhatikan secara lebih mendalam, penyokong pasti menyedari bahawa pasukan itu ketandusan seorang penyudah yang mampu menghidu setiap peluang keemasan.
Prestasi mengecewakan penyerang import, Jose Embalo seakan-akan tidak membawa sebarang perubahan selepas dia hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan.
Selain itu, kesukaran untuk meletakkan penyerang berpengalaman, Amri Yahyah sebagai penyerang tunggal jelas memerlukan wajah baharu yang mampu meningkat kemampuan serangan Sang Badak.
Darren Lok dilihat sebagai seorang yang mampu memikul tanggungjawab berat itu apabila kehadirannya di hadapan pintu gol cukup berbahaya musim ini.
Kemampuannya untuk melakukan tekanan terhadap benteng pertahanan lawan, seperti yang dilakukan bersama PJ City dan Harimau Malaya dilihat sebagai salah satu senjata utamanya.
Oleh itu, sekiranya pemain berdarah kacukan itu benar-benar memilih untuk menyertai Kim Swee, mereka pasti tidak perlu runsing untuk mencari solusi dalam mendapatkan lebih banyak jaringan.
2. Sejarah bersama Kim Swee
Ketika beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT) II, Darren Lok pernah terpalit kontroversi apabila penyokong mempersoalkan kehadirannya dalam skuad kebangsaan walaupun jarang beraksi dalam pasukan utama.
Menariknya, panggilan ke dalam kem latihan itu dibuat oleh Kim Swee yang ketika itu masih memegang jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.
Walaupun keputusan itu ditolak secara mentah-mentah oleh penggemar bola sepak tempatan, ia tidak menghalang jurulatih kelahiran Melaka itu untuk mempertahankan tindakan dan pemain tersebut.
Kim Swee pasti terbuka dengan kehadiran penyerang kebangsaan itu ke dalam skuad The Rhinos. — Facebook/Sabah FC
Perkara itu seperti membina satu hubungan istimewa antara kedua-dua pihak dan ia pastinya sukar untuk dileraikan walaupun sudah hampir lima tahun peristiwa itu berlaku.
Oleh itu, tidak timbul sebarang keraguan sekiranya Darren menggunakan alasan itu untuk berhijrah ke Sabah FC berbanding pasukan-pasukan Liga Malaysia yang lain.
Bagi Kim Swee pula, pemahamannya terhadap gaya dan cara permainan Darren pastinya tidak memberi sebarang masalah untuk membawanya masuk ke dalam skuad Sang Badak.
Darren juga pastinya tidak menolak peluang untuk beraksi bersama Sang Badak selepas mereka mencatatkan satu musim memberangsangkan dengan lambakan bintang tempatan.
Kontra
1. Sekat bintang muda
Darren Lok bukanlah seorang pemain yang boleh dikategorikan sebagai muda dengan usianya sudah mencecah 31 tahun, sekali gus memberi bayangan bahawa sumbangannya tidak bertahan lama.
Namun, semangat dan lariannya atas padang tidak boleh dipandang rendah apabila dia dikatakan sebagai seorang yang rajin untuk mencuri bola daripada pemain lawan.
Ia dilihat sebagai salah satu alasan kukuh daripada pasukan lain untuk mendapatkan khidmatnya selain mengakui akan kehandalannya dalam mencari dan mencipta peluang.
Jadi, kehadirannya ke dalam skuad Sabah FC dilihat sebagai pengganti Embalo yang merupakan satu-satunya penyerang tunggal dalam pasukan.
Bagaimanapun, terdapat seorang lagi pemain yang mula meraih kepercayaan barisan kejurulatihan meskipun statistik jaringannya tidaklah menarik perhatian.
Kehadiran Darren Lok bakal menyekat peluang Azhad Harraz. — Facebook/Sabah FC
Meskipun baru sahaja berusia 19 tahun, Azhad Harraz berjaya menempa namanya dalam pasukan apabila berjaya mendapatkan beberapa penampilan sebagai pemain simpanan.
Namun, dalam kempen Piala Malaysia Sabah FC, Kim Swee mula memberi kepercayaan penuh kepada Azhad dengan meletakkannya dalam kesebelasan utama ketika berdepan UiTM FC di Stadium UiTM, Selangor.
Keputusan itu jelas membuahkan hasil apabila dia berjaya mencipta satu bantuan gol yang berjaya disudahkan rakan sepasukan, Maxsius Musa dalam pertembungan itu.
Sekiranya ura-ura perpindahan Darren Lok ke Borneo menjadi satu realiti, ia pasti menyekat perkembangan karier Azhad yang mula mendapat rentak dalam pasukan.
Pemain muda tersebut pasti akan memilih untuk mencari angin baharu atau terpaksa akur di bangku simpanan sambil menunggu lebih banyak peluang bersama skuad senior.
2. Saingan hebat gergasi Liga M
Kehadiran pelaburan besar dalam pasukan Liga Malaysia seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan JDT dilihat sebagai satu kelebihan buat mereka, lebih-lebih lagi ketika jendela perpindahan.
Selain tidak mempunyai masalah untuk menebus kontrak pemain, mereka juga dilihat tidak berdepan isu untuk menampung gaji mereka sepanjang musim.
Tetapi, bagi Sabah FC, kedudukan dan struktur kewangan mereka tidaklah sekukuh pasukan lain dan ia seakan-akan menyekat hasrat mereka untuk mendapatkan Darren Lok.
'Taring' pemain berusia 31 tahun itu pastinya diberi perhatian beberapa pasukan lain yang turut berhasrat untuk membawa masuk penyerang baharu untuk musim akan datang.
Kehadiran pemilik baharu KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengukuhkan struktur kewangan pasukan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Antara pasukan yang dilaporkan mula mengintai wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan nanti ialah KDA FC dan Selangor FC apabila masing-masing sepertinya mahu menambah baik jentera serangan.
Jadi, sekiranya Sabah FC bercita-cita besar untuk mendapatkan pemain kelahiran England itu, mereka terpaksa melakukan pelaburan besar untuk 'memancingnya' ke Stadium Likas.
Perkara itu bakal mendatangkan ketidak stabilan ke dalam skuad yang ketika ini dilihat harmoni, baik dari segi pengurusan dan persembahan atas padang.
Selain itu, mereka juga perlu bersedia untuk dikecewakan ketika tempoh perpindahan itu apabila pasukan lain masih tidak mengibarkan bendera putih untuk membawa masuk Darren Lok ke dalam pasukan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram