Tak kembali ke pangkuan TFC? Bintang HM jadi rebutan 2 kelab Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Desas-desus mengatakan Nik Akif bakal dilamar oleh dua pasukan Liga Super musim depan. — Kelantan United

MENJELANG jendela perpindahan musim baharu yang dijadual bermula pada Disember ini, setiap pasukan sudah pasti merancang untuk melakukan rombakan terhadap pemain masing-masing.

Ini termasuk sama ada menyingkirkan pemain lama mahupun melamar pemain baharu, bertujuan menguatkan lagi benteng pasukan mereka.

Tambahan pula, saingan Liga Super musim depan bakal disertai 18 pasukan, dengan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan.

Penstrukturan semula ini sudah pasti akan memberi cabaran kepada setiap pasukan, yang berdepan dengan persaingan lebih sengit.

Terbaharu, khabar angin mengaitkan pemain pinjaman Kelantan United, yang dipinjamkan oleh Terengganu FC (TFC) bakal dilamar oleh pasukan lain pada musim depan.

Bintang Harimau Muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat dipercayai menarik minat Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Penang FC untuk mendapatkan khidmatnya musim depan, sekali gus menghangatkan lagi spekulasi tidak lagi pulang ke pangkuan TFC.

Pada masa sama, terdapat desas-desus Nik Akif akan menyertai Kelantan United secara tetap, namun belum ada sumber sahih yang mengesahkan khabar angin tersebut setakat ini.

Selepas kurang mendapat aksi bersama skuad Sang Penyu, pemain berusia 23 tahun itu dipinjamkan ke skuad Kijang Hijau, walaupun terdapat perkhabaran bahawa dia akan diturunkan ke skuad simpanan TFC II di Liga Perdana.

Namun, bakat dan kebolehan prospek muda itu semakin terserlah apabila dia berjaya mendapatkan minit-minit permainan dalam liga bagi membolehkan pasukan itu mengakhiri saingan di tangga kelima.

Perkara itu pastinya menjadi tarikan utama Nik Akif, selain usia mudanya sering dicari-cari pasukan Liga Malaysia yang berhasrat melahirkan lebih banyak ubi-ubi muda.

Terdahulu, pemain kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu yang pernah membuat penampilan bersama skuad remaja kebangsaan beberapa kali sejak 2018 ketika berusia 18 tahun menarik perhatian beberapa kelab, termasuk Negeri Sembilan FC yang berminat dengan kebolehannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram