Hampir jadi realiti, penjaga gol Harimau Malaya dalam radar kelab elit utara tanah air


  • Podium
  • Selasa, 01 Nov 2022

Kalamullah (kiri) mula dikaitkan dengan perpindahan selepas prestasi konsisten bersama PJ City FC musim ini. — Facebook/FAMOfficial

PENJAGA gol kebangsaan, Kalamullah al-Hafiz Mat Rowi dikhabarkan sedang diburu beberapa pasukan Liga Malaysia atas potensi dan kemampuannya.

Berdasarkan persembahannya musim ini, pemain kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu berjaya mengukuhkan benteng Petaling Jaya (PJ) City FC apabila hanya dibolosi sebanyak 27 kali dalam 22 perlawanan.

Walaupun statistik berkenaan tidak boleh dikatakan cemerlang, ia masih dilihat satu pencapaian membanggakan memandangkan pertahanan The Phoenix dikatakan tidak cukup kental.

Oleh itu, keputusan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk memanggilnya ketika kempen Piala Raja Thailand September lalu tidak dipersoalkan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kuat khabar angin mengatakan beberapa pasukan Liga Malaysia mula menunjukkan minat untuk membawa Kalamullah ke dalam skuad mereka.

Perkara itu pastinya mendatangkan kegembiraan buat penjaga gawang itu apabila dia berpeluang untuk beraksi di samping benteng pertahanan lebih baik, sekali gus meningkatkan kebolehannya.

309886253_1539365053163466_3509225673197747999_n

Prestasi konsisten Kalamullah menarik minat beberapa pasukan Liga Malaysia. Facebook/PJ City FC

Selain itu, meskipun pemilik PJ City FC, Vijay Eswaran sebelum ini menegaskan kelabnya bakal bertanding musim depan, ia tidak menghalang mana-mana pihak untuk menyambar pemain berpotensi besar itu.

Baru-baru ini, menerusi satu perkongsian di laman Twitter @PiangShankly, penyokong bola sepak tempatan itu mengatakan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC merupakan salah satu kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat Kalamullah.

Musim ini, skuad Sang Kenari mempunyai satu rekod pertahanan yang teruk selepas dibolosi sebanyak 41 kali dengan dua penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Shahrel Saari kurang menyerlah sepanjang musim.

Oleh itu, perpindahan itu dilihat relevan dengan KDA FC pastinya berhasrat untuk menambah baik kemampuan benteng mereka bagi membolehkan mereka bersaing lebih baik.

Perkara itu turut menerima sokongan daripada segelintir penyokong Hijau Kuning dengan Bin Bahari Muhammad Fausol mengakui bahawa skuad Sang Kenari berdepan masalah di pintu gawang.

"Pada saya, perpindahan ke Kedah adalah realistik kerana pasukan itu memang ada masalah penjaga gol musim ini," katanya.

Namun, di sebalik khabar angin itu, muncul satu lagi destinasi sesuai buat Kalamullah dengan Penang FC juga dilaporkan berminat untuk mencari penjaga gol berkualiti musim depan.

Hal itu dikongsikan penyokong menerusi laman Facebook Malayantigerfans yang juga tidak menolak bahawa kedua-dua pasukan utara tanah air itu mula melahirkan minat untuk membawa masuk pemain tersebut musim depan.

Situasi pertahanan skuad Harimau Kumbang tahun ini juga berdepan situasi seperti KDA FC selepas mereka dibolosi sebanyak 45 kali dalam kempen Liga Super.

Selain itu, prestasi penjaga gol utama Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil dikatakan tidak konsisten sepanjang musim selain Hafizul Hakim juga bukanlah pengganti yang berkaliber.

Jadi, dengan Kalamullah terbuka untuk mencari angin baharu dalam kariernya, Harimau Kumbang mampu menjadi destinasi berikutnya dalam meraih lebih banyak pengalaman dalam arena bola sepak tempatan.

Di samping itu, kehadirannya juga tidak ditolak penyokong Penang FC dengan Muhammad Faris Sufyan berharap dia mampu menambah baik kemampuan pasukan di posisi tersebut.

"Kalau dia datang ke Penang FC, bolehlah dia digandingkan dengan Khatul Anuar," katanya.

Pada masa sama, Perak FC juga dikatakan destinasi baharu buat Kalamullah, namun belum ada sebarang hitam-putih bagi mendapatkan penjaga gol berketinggian 1.78 meter itu setakat ini.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan hanya akan dibuka hujung tahun ini, perkara tersebut masih tidak boleh disahkan dengan PJ City FC pastinya tidak mahu kehilangan pemain berharga itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram