Tiga nama jurulatih sepadan dengan 'hint' CEO KDA FC


  • Podium
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Bukan hanya menukar ketua jurulatih, malah pasukan Hijau Kuning akan melakukan rombakan pemain. — Facebook/KDA FC

KEGAGALAN Kedah Darul Aman (KDA) dalam saingan Liga Malaysia musim 2022 semakin kelihatan selepas skuad Sang Kenari tewas kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi timbal balik kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia 2022.

Keputusan yang berakhir dengan agregat 1-2 itu menyaksikan KDA FC tidak dapat menebus maruah mereka selepas kalah dalam enam perlawanan berturut-turut pada saingan Liga Super dan satu perlawanan Piala Malaysia menentang NSFC di Darul Aman.

Prestasi musim ini boleh dikatakan prestasi terburuk pasukan Hijau Kuning sehingga memaksa mereka untuk melakukan rombakan pemain dan keseluruhan kakitangan kejurulatihan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Khamal Idris Ali mengatakan bahawa Sang Kenari berkemungkinan akan menyingkirkan lima pemain import yang beraksi di Liga Super musim ini.

Dia juga memberitahu bahawa KDA FC sudah mengenalpasti siapa yang bakal mengambil posisi bekas jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

“Hanya selepas tamat pertandingan Piala Malaysia musim ini barulah saya dapat umumkan nama ketua jurulatih baharu Kedah yang bakal menggantikan Aidil Sharin,” kata Khamal memetik laporan Flash Sukan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Khamal itu, rata-rata penyokong KDA FC berteka-teki figura bakal pengendali Sang Kenari itu.

Berdasarkan petunjuk yang diberikan CEO Kedah, Majoriti menyenaraikan tiga calon ketua jurulatih baharu Hijau Kuning.

1) Nafuzi Zain

NAFUZI ZAIN

Khidmat Nafuzi mula ditagih beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk Kedah. — Facebook/Terengganu FC

Meskipun pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) sudah menawarkan kontrak lanjutan kepada Nafuzi namun jurulatih berusia 44 tahun itu masih belum memuktamadkan keputusannya sama ada bakal kekal bersama skuad Penyu ataupun sebaliknya.

Justeru itu, peluang Kedah untuk mendapatkan khidmat jurulatih kelahiran Kelantan itu masih cerah dan berkemungkinan skuad Sang Kenari sudah menawarkan kontrak kepadanya.

Selain penyokong KDA FC, bintang muda KDA FC, Muhamad Kamil Akmal Abd Halim turut menyukai jika Nafuzi dipilih menjadi pengendali Hijau Kuning kerana pendekatannya yang gemar menggunakan bakat pemain muda.

Kedatangan Nafuzi ke pasukan Kedah akan membawa pembaharuan positif terutamanya pendekatan taktikal yang digunakannya.

Taktikal Nafuzi membuahkan hasil apabila menyaksikan Terengganu berjaya menghabiskan kempen Liga Super pada kedudukan kedua dan dinobatkan naib johan dalam saingan Piala FA 2022.

2) Bojan Hodak

Screenshot 2022-11-03 at 9.09.38 PM

Bojan berjaya membawa KL City ke peringkat akhir Piala AFC. — Stadium Astro

Bojan Hodak bukan nama yang asing lagi dalam landskap bola sepak Malaysia kerana pengalamannya melatih Kelantan [2012-2013], Johor Darul Takzim (JDT) [2014-2015] dan terkini Kuala Lumpur (KL) City FC.

Bersama Harimau Selatan, Bojan berjaya membawa pasukan itu memenangi kejuaraan Liga Super 2014 dan melangkah ke kejohanan antarabangsa, Piala AFC.

Kejayaan terbaharu jurulatih kelahiran Croatia itu apabila berjaya membawa pasukan The City Boys memenangi Piala Malaysia dan ke pentas final Piala AFC.

Dengan pengalamannya membawa dua pasukan itu ke peringkat Asia, Kedah mempunyai harapan untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala AFC.

Pada musim ini, Sang Kenari tersingkir pada peringkat separuh akhir zon Asean Piala AFC selepas tewas 1-2 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar.

3) Irfan Bakti Abu Salim

Screenshot 2022-11-03 at 9.08.49 PM

Irfan Bakti mula mengemudi Kuching City pada 2021. — Agensi

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti tidak perlu dikenalkan lagi kerana pencapaiannya dalam arena bola sepak tempatan.

Meskipun usianya yang semakin lanjut namun tidak boleh dinafikan taktikalnya masih mampu digunakan dan ia terbukti menerusi pencapaian mengemudi Kuching City FC.

Mana tidaknya, skuad The Cats itu berjaya menghabiskan kempen Liga Perdana dengan menduduki tempat ketiga dan hanya ketinggalan lapan mata dari pendahulu liga, JDT II.

Sepanjang karier jurulatih berusia 71 tahun itu, sebanyak sepuluh pasukan sudah mendapat sentuhan jurulatih paling senior dalam Liga M itu termasuk Negeri Sembilan, Selangor, Telekom Melaka, Felda United dan Penang FC dan Terengganu.

Jurulatih itu pernah membantu pasukan Terengganu muncul juara Piala FA pada 2011. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram