'From hero to zero' — Harimau Kumbang tersungkur awal Piala Malaysia, bintang Puskas jadi 'kambing hitam'


  • Podium
  • Selasa, 01 Nov 2022

Pemain Harimau Kumbang bertemu penyokong selepas tersingkir daripada saingan Piala Malaysia. — Facebook/Penang FC

PENYINGKIRAN awal Penang FC daripada saingan Piala Malaysia 2022 menyemarakkan lagi api kemarahan dalam kalangan penyokong yang sememangnya sudah kecewa dengan prestasi pasukan itu musim ini.

Selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot, skuad Harimau Kumbang diberi talian hayat apabila layak ke kejohanan tersebut bagi menggantikan Melaka United yang berdepan masalah tunggakan gaji.

Namun, peluang itu tidak diambil dengan kekalahan di tangan Kuching City FC dengan skor 1-2, sekali gus menyaksikan anak-anak buah Manzoor Azwira Abdul Wahid terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal pada edisi Piala Malaysia kali ini selepas tewas menerusi agregat 4-3.

Jadi, tidak hairanlah apabila laman media sosial dipenuhi luahan kekecewaan penyokong setia Penang FC yang sebelum itu bercita-cita untuk melihat kemaraan pasukan kegemaran mereka lebih jauh.

Selain itu, ada juga segelintir penyokong Harimau Kumbang menjadikan beberapa pemain termasuk bintang Puskas, Mohd Faiz Subri sebagai 'kambing hitam' apabila serba tidak menjadi di Stadium Negeri, Kuching Sarawak pada Isnin.

"Maaf cakap, pada saya, Faiz Subri boleh dah kemas-kemas barang dan cari pasukan lain kerana saya lihat dia bermain seakan-akan hidup segan, mati tak mahu," kata Own Penang.

"Macam manalah jurulatih boleh turunkan Faiz Subri, lemah saya tengok. Lari pun malas dan semacam berjalan sahaja sepanjang perlawanan, tidak serupa pemain Liga Super langsung," kata Faiza Fazin.

"Faiz Subri memang tidak menjadi pada perlawanan itu dan saya harap dia tidak dikekalkan dalam skuad untuk musim depan. Tak payah rasanya disimpan lagi," kata Jan Da.

Pemain berusia 34 tahun itu sememangnya dikenali peminat bola sepak tempatan apabila dia pada 2016 berjaya dipilih sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA selepas satu jaringan menarik ketika berdepan Pahang FA.

WhatsApp Image 2022-11-01 at 11.02.51

Segelintir penyokong menuding jari ke arah Faiz Subri atas kekalahan di tangan Kuching City FC. Facebook/Penang FC

Bagaimanapun, sejak itu, kehadirannya dalam landskap Liga Malaysia sudah kurang diberi perhatian berikutan masalah kecergasan dan prestasi yang kurang menarik perhatian.

Dalam pertembungan dengan Kuching City FC pada Isnin, Faiz dikatakan sebagai antara punca kekalahan selepas sumbangannya gagal menyumbang kepada percubaan serta merencatkan serangan yang direncanakan.

Meskipun hanya beraksi sepanjang 30 minit masa tambahan, ia tidak menghalang penyokong Harimau Kumbang daripada menunding jari ke arah pemain tengah itu.

Berikutan penyingkiran itu, Penang FC akhirnya menamatkan satu kempen yang kurang memberangsangkan dan pihak pengurusan pastinya melakukan rombakan secara besar-besaran bagi membolehkan mereka bermain dengan lebih baik musim depan.

Bagi penyokong pula, langkah itu merupakan salah satu perkara yang perlu dilakukan dengan Faiz Subri diharap menjadi antara nama yang bakal ditunjuk jalan keluar ketika jendela perpindahan pemain akan datang.

Dengan kemenangan itu, Kuching City menempah slot suku akhir Piala Malaysia berdepan Sabah FC di laman sendiri pada Sabtu sebelum berkunjung ke tempat lawan bagi aksi timbal balik kedua pada 11 November. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram