Suasana harmoni bilik persalinan The Bos Gaurus jadi agenda utama LTK


  • Podium
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Wawancara bersama Teong Kim dan beberapa pemain Perak FC yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook pada Jumaat malam.

KEGAGALAN Perak FC untuk melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia 2022 sedikit sebanyak memberi ruang kepada ketua jurulatih, Lim Teong Kim untuk melakukan persiapan lebih awal bagi menghadapi saingan domestik musim depan.

Selain mengadakan latihan secara kerap, pasukan itu juga dilihat mula melakukan perancangan teliti dengan menganjurkan perlawanan persahabatan.

Perkara itu bukan sahaja berjaya memberi ruang dan minit permainan kepada skuad, malah ia juga mampu menjadi medan buat Teong Kim untuk menilai setiap pemain.

Bagi penyokong pula, mereka pastinya tidak sabar-sabar untuk melihat hasil daripada sentuhan jurulatih kelahiran Melaka, itu selepas bertahun-tahun bergelumang dengan isu pengurusan.

Mereka juga pastinya ternanti-nanti akan sasaran yang diletakkan barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan, selepas mula membawa masuk wajah baharu sebelum jendela perpindahan dibuka hujung tahun nanti.

Namun, bagi Teong Kim, dia seakan-akan mempunyai perancangan dan persiapan rapi dalam membolehkan skuad The Bos Gaurus (TBG) mencapai satu tahap lebih tinggi dalam masa akan datang.

"Saya mahu membina satu budaya bola sepak di mana pemain perlu faham tanggungjawab dan tugas masing-masing, selain cara mereka memikul tanggungjawab itu sebagai pemain bola sepak profesional," katanya.

Perkara itu dikongsikan dalam satu wawancara ringkas yang dianjurkan kelab itu pada Jumaat, selain disertai beberapa pemain Perak FC termasuk Harith Naem dan Luciano Guaycochea yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi kelab.

Dalam masa sama, bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu juga berhasrat untuk menjadikan bilik persalinan sebagai satu medan dalam membina suasana harmoni antara pemain.

"Pemain perlu menujukkan semangat dan keazaman dan penting untuk budaya yang kita mahu bina ini bermula dengan bilik persalinan di mana pemain semua mesti berada dalam bilik itu satu jam sebelum latihan.

"Mereka perlu bercampur gaul dengan semua pemain-pemain yang berada di dalam supaya kita membina satu budaya bola sepak yang pemain boleh bergaul antara satu sama lain dalam pasukan," katanya.

Selain itu, pengendali berusia 59 tahun itu juga percaya, sekiranya tiada hubungan antara pemain muda dan senior, keserasian dalam skuad tidak akan wujud.

Musim ini, Perak FC menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kesembilan, selepas dipotong sebanyak sembilan mata berikutan masalah pengurusan sebelum ini.

Bagaimanapun, dengan perubahan struktur daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), mereka bakal berentap bersama 15 pasukan lain dalam satu wajah baharu liga tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram