Kemasukan pemain JDT petanda penghijrahan benteng skuad Jang?


  • Podium
  • Sabtu, 05 Nov 2022

NSFC menamatkan saingan liga di tangga keempat dengan satu rekod pertahanan cemerlang musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEBELAKANGAN ini, peminat bola sepak tanah air kerap disajikan dengan berita mengenai perpindahan pemain walaupun tiada pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak.

Perkara itu hanya akan disahkan ketika jendela perpindahan pada hujung tahun, di mana tempoh tersebut bakal menyaksikan pemain mencari angin baharu dalam karier mereka.

Antara yang mula dikaitkan dengan penghijrahan itu ialah pemain pertahanan berusia, Hasbullah Abu Bakar apabila dia dikatakan bakal memilih Negeri Sembilan FC sebagai destinasi baharunya.

Musim ini, pemain itu dipinjamkan ke Melaka United daripada Johor Darul Takzim (JDT) selepas kesukaran Harimau Selatan memberinya minit permainana yang diperlukan.

Namun, ada juga yang mengatakan dia merupakan pemain tetap skuad Hang Tuah apabila sudah menabur bakti selama dua musim bersama mereka, sekali gus mengukuhkan benteng pertahanan.

Bagaimanapun perkara itu dikatakan tidak tepat apabila laman rasmi kelab selatan itu masih memaparkan Hasbullah mempunyai kontrak bersama mereka dan boleh dipanggil semula.

WhatsApp Image 2022-11-05 at 11.29.57

Hasbullah (kiri) dikatakan bakal menyertai Negeri Sembilan FC musim depan. Instagram/mhasbullah35

Dengan Melaka United mengalami masalah dan JDT mempunyai pilihan di posisi pertahanan kanan, tidak hairan apabila pelbagai khabar angin tersebar mengenai pemain berusia 28 tahun itu.

Ura-ura itu pastinya mendatangkan perasaan tidak senang dalam kalangan penyokong skuad Jang kerana kedatangan Hasbullah seperti mengesahkan pemain kesayangan mereka, Che Rashid Che Halim akan meninggalkan pasukan.

Walaupun baru sahaja menabur bakti bersama Negeri Sembilan FC buat semusim, kehadiran Che Rashid dilihat sebagai elemen penting bagi mengukuhkan benteng pertahanan skuad kendalian K Devan.

Kelincahan dan kemampuannya untuk membaca gerak geri lawan dilihat antara sebab dia mudah mengekang serangan, sekali gus menyumbang kepada pencapaian membanggakan Negeri Sembilan musim ini.

Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 27 tahun itu juga memberi sumbangan daripada aspek serangan setelah dia berjaya mengumpul dua bantuan gol dalam 22 aksi Liga Super.

WhatsApp Image 2022-11-05 at 11.28.43

Che Rashid merupakan seorang pemain kental buat skuad Jang musim ini. Facebook/Negeri Sembilan FC

Kemampuan itu sudah cukup untuk meningkatkan namanya sehingga menarik perhatian beberapa kelab Liga Malaysia yang berminat untuk membawa masuk Che Rashid ketika jendela perpindahan kelak.

Hal itu turut dikuatkan lagi apabila khabar angin yang mengaitkan Hasbullah mula bertiup kencang dengan pemain itu kerap diturunkan di posisi pertahanan kanan musim ini.

"Kalau Hasbullah masuk, Che Rashid akan keluar?" tanya Shazwan Aguero, ringkas.

"Sebelum ini, pernah juga dengar Che Rashid akan pergi ke kelab lain, tapi kalau betul Hasbullah masuk, mungkin OK rasanya untuk menggantikannya," kata Al Hafiz.

Perkara tersebut masih berstatus khabar angin dengan pemain kelahiran Mersing, Johor itu masih mengerah keringat bersama skuad dalam kempen Piala Malaysia ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram