PENJENAMAAN dan pembentukan semula pasukan Harimau Melaka FC yang sebelum ini dikenali sebagai Melaka United FC bagai memberi harapan baharu buat penyokong skuad Hang Tuah.
Masakan tidak, pasukan tersebut gagal meneruskan perjuangan mereka apabila tersingkir daripada Liga Super Malaysia edisi 2023 dan tidak dibenarkan untuk bermain pada peringkat perlawanan Piala TM Malaysia 2022.
Bukan sahaja itu, kontroversi tunggakkan gaji selama tiga bulan pada September lalu masih menghantui penyokong terutama melibatkan pengurusan pasukan.
Pada masa sama, nama pengurusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) ditukar kepada Persatuan Bola Sepak Amatur Melaka (MAFA).
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad yang mengharapkan agar tidak perlu diungkit semula kisah lama dan membuka buku baharu.
Nur Azmi turut mengatakan Harimau Melaka FC kini sedang giat menyusun strategi dan dijangka akan memulakan sesi latihan pada awal Disember.
Bagaimanapun, keputusan untuk memilih jurulatih tempatan atau luar negara masih belum diputuskan.
Melihat kepada langkah inisiatif Nur Azmi, Harimau Melaka FC berkemungkinan masih mempunyai harapan sebagai permulaan baharu memandangkan hanya berbaki kurang dua bulan untuk memasuki tahun baharu.
Namun, daya usaha yang ditonjolkan kelihatan masih belum cukup apabila memberi keyakinan apabila tindakannya itu mendapat kritikan peminat.
Sebilangannya berpendapat penggunaan nama Harimau sudah terlalu banyak digunakan dalam arena sukan seperti Harimau Malaya dan Harimau Selatan (Johor Darul Takzim/JDT).
Pada mereka, tidak perlu mengubah nama pasukan sekiranya sistem pengurusan masih di takuk lama termasuk mengalami masalah pembayaran gaji pemain.
“Nama tidak penting. Pengurusan kewangan itu yang diutamakan,” kata Zakaria Abdul Wahab.
“Bukan nama jadi taruhan bang, tapi pengurusan. Jaga gaji. Kalau pengurusan teruk, lebih baik letak nama ulau Melake,” kata Bolkiah Srah.
“Keria Melaka United pun sedap. Tak pun Melaka Coconut Shake United,” kata MZan Muoo.
Dalam pada itu, ada juga yang tampil memberikan sokongan dan mengharapkan agar nama baharu ini mampu memberi semangat untuk bersaingan dengan pasukan lain.
“Jadikan pengajaran kisah lalu. Buat sehabis baik dan yang paling penting biar yang arif dalam bidang ini yang menguruskan,” kata Hasrin Lazim.
“Semoga dipermudahkan segala urusan,” kata Amad Zainudin Said.
Untuk rekod, sebanyak RM1.5 juta sehingga RM7 juta anggaran belanja yang diperlukan untuk mengembalikan Harimau Melaka FC ke saingan Liga Super musim 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram