PASUKAN pilihan Piala Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) mudah menepati ramalan peminat bola sepak tempatan selepas membenam Petaling Jaya (PJ) City FC 6-0 secara agregat.
Kejayaan itu membolehkan anak-anak buah Hector Bidoglio mara ke peringkat suku akhir dalam usaha mereka memburu kejuaraan keempat musim ini.
Selepas menjulang Piala FA, Piala Sumbangsih dan trofi Liga Super, mereka kelihatan masih dahaga untuk mencatatkan sejarah sebagai pasukan pertama menjuarai empat kejohanan semusim.
Namun, pertembungan selepas ini mula menarik perhatian peminat tegar pasukan apabila dijadualkan bertemu naib johan Liga Perdana, Kelantan FC.
Perlawanan yang bakal berlangsung pada Sabtu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV itu dijangka dibanjiri penyokong kedua-dua pasukan sebelum aksi timbal balik di laman sendiri pada 11 November nanti.
Meskipun nasib kedua-dua pasukan ketika ini sedikit berbeza, orang ramai pasti tidak dapat melupakan pertembungan mereka semasa detik-detik awal pemilikan JDT oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada 2012.
Penyokong Kelantan mula berpuas hati dengan kebangkitan pasukan itu musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Ketika itu, The Red Warriors (TRW) boleh dikatakan sebagai pemilik mahkota kepada bola sepak tempatan selepas muncul juara Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
Pasukan yang ketika itu dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Bojan Hodak sememangnya sukar dibendung pihak lawan dengan lambakan bintang tanah air dalam skuad mereka.
Bagaimanapun, panas yang disangka ke petang tetapi hujan di tengah hari apabila pasukan itu mula sedikit demi sedikit berdepan isu tunggakan gaji dan pengurusan bermula 2016.
Perkara itu menyebabkan beberapa pemain mula meninggalkan pasukan seperti Wan Zack Haikal dan Brendan Gan yang masing-masing menyertai Felda United dan Perak FC.
Susulan isu itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mula mengenakan tindakan memotong mata, sekali gus memberi tekanan besar buat TRW.
Akhirnya, pada 2018, pasukan yang semakin malap dalam kalangan pasukan Liga Malaysia itu tersingkir ke kancah Liga Perdana selepas menamatkan musim di tangga kedua tercorot.
Sejak itu, penyokong mula merindukan pertembungan antara Harimau Selatan dan Kelantan FC apabila masing-masing mempunyai jurang perbezaan besar.
Jadi, tentunya pertembungan pada Sabtu ini akan mengubat kerinduan lalu dengan stadium keramat itu dilihat bakal dibanjiri peminat tegar kedua-dua kelab.
Oleh itu, tidak salah sekiranya Majoriti menyelami semula momen-momen hangat setiap kali kedua-dua pasukan bertemu ketika Kelantan FC berada di puncak bola sepak negara.
1. Kelantan FA 6 - JDT 1, Piala Malaysia 2013
Selepas TMJ disahkan sebagai pemilik baharu JDT pada 2013, pihak pengurusan tidak menunggu lama untuk menambah baik pasukan dengan membawa masuk pemain baharu.
Antara pemain yang disasarkan ialah dua tonggak Kelantan FA, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya yang memilih untuk berhijrah ke selatan tanah air.
Perkara itu menyebabkan penyokong mula rasa dikhianati, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua mereka merupakan tulang belakang pasukan ketika zaman kegemilangan itu.
Perpindahan Mat Yo ke JDT pada 2013 merobek hati penyokong setia The Red Warriors. — SuaraTV
Lebih menyakitkan hati lagi, ketika peringkat suku akhir Piala Malaysia 2013, Norshahrul berjaya menjaringkan gol ketika skuad Harimau Selatan membenam TRW 4-2 di Stadium Larkin, Johor.
Oleh itu, mereka pastinya berdendam kerana kekalahan memalukan itu dengan menjadikannya pembakar semangat ketika aksi timbal balik di laman sendiri.
Jelas, dendam itu akhirnya terbalas apabila pasukan yang dikendalikan Bojan Hodak itu berjaya menjaringkan gol seawal minit ke-19 sebelum menggandakan kelebihan pada minit ke-32.
Meskipun terdapat beberapa percubaan untuk bangkit, keutuhan pasukan Kelantan ketika itu jelas gagal untuk dipersoalkan apabila mereka berjaya menjaringkan enam gol di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Sorakan kegembiraan penyokong yang membanjiri stadium jelas mengiringi pasukan tersebut setelah mereka menggagalkan usaha JDT untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.
Sehingga hari ini, keputusan itu sukar dilupakan pasukan kerana ia antara kekalahan terbesar yang dialami sejak penubuhan pasukan itu.
Bagi peminat tegar kedua-dua pasukan pula, mereka pasti mengharapkan pertembungan di pentas Piala Malaysia Sabtu ini mampu menghasilkan keputusan seperti itu bagi mewarnai semula arena bola sepak tanah air.
2. Kelantan FA 1 - JDT 0, Piala FA 2013
Hari ini, kemaraan JDT ke pentas akhir dalam setiap kejohanan jarang mengecewakan apabila mereka tidak mahu pulang dengan tangan kosong dalam setiap pertembungan.
Walaupun baru-baru ini tewas di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC di pentas akhir Piala Malaysia 2021, ia tidak melunturkan aura sebagai juara selepas menang 3-1 ketika final Piala FA 2022.
Oleh itu, sekiranya JDT berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan sama musim ini, penyokong setia Harimau Selatan pastinya tidak gentar dengan lawan yang bakal dihadapi.
Namun, tahukah anda bahawa pasukan yang gah ketika ini sering dikecewakan ketika pasukan itu baru sahaja mula menapak dalam arena bola sepak tempatan?
Antara perlawanan akhir yang menyaksikan JDT gagal menjulang trofi ialah pentas final Piala FA 2013 yang ketika itu berdepan cabaran getir pasukan Pantai Timur itu.
Selepas berjaya berdepan segala cabaran, kedua-dua pasukan tampak yakin dalam pertembungan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu pada hujung Jun 2013.
Kelantan muncul sebagai juara Piala FA 2013 selepas menundukkan JDT dengan skor 1-0.
Bagi JDT, mereka pastinya berhasrat besar dalam pertembungan itu selepas ia merupakan kali pertama berentap dalam pentas akhir sejak penubuhannya pada 1998.
Namun, Kelantan FA juga pastinya tidak mahu dipandang rendah kerana tidak mahu legasi 'treble' yang baru sahaja dicatat satu musim lepas dipadam dengan mudah.
Oleh itu, kedua-dua pasukan pasti meletakkan kepercayaan penuh terhadap barisan pemain dengan menurunkan barisan kesebelasan utama terbaik untuk muncul sebagai juara.
Bagaimanapun, skuad kendalian Bojan Hodak jelas terlalu sukar untuk dihalang apabila pemain tengah, Nor Farhan Muhammad memecahkan kebuntuan pada awal separuh masa pertama.
Kemenangan itu jelas membangkitkan puluhan ribu penyokong TRW yang memenuhi stadium dalam usaha mematahkan semangat lawan selain membakar keazaman pasukan sendiri.
Selain itu, ia juga merupakan satu kenangan terindah buat peminat setia Kelantan hari ini kerana menjadi kejohanan terakhir yang mampu skuad itu bawa pulang trofi.
Bagi JDT pula, ia jelas menjadi satu titik perubahan apabila mula mencengkam takhta bola sepak negara dengan menjuarai kejohanan demi kejohanan.
3. JDT 4 - Kelantan 0, Liga Super 2018
Seperti yang dibincangkan awal tadi, nasib Kelantan mula berubah berikutan masalah pengurusan dan kewangan sehingga menyaksikan pasukan itu akhirnya tersingkir ke Liga Perdana pada 2018.
Ketika itu, JDT yang dikendalikan bekas pemain, Luciano Figueroa berjaya mempamerkan taring dengan menjuarai kejohanan di peringkat kebangsaan dan Asia.
Ia sekali gus menjadikan pasukan selatan tanah air itu sebagai satu cabaran besar buat skuad Liga Malaysia lain, lebih-lebih lagi buat Kelantan yang mula ditimpa masalah.
Kelantan 'terpaksa' memberi penghormatan setelah JDT disahkan sebagai juara Liga Super 2018. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Oleh itu, ketika Kelantan bertandang ke Stadium Larkin pada 20 Julai 2018, nasib mereka ketika itu seakan-akan sudah dipastikan setelah mereka menghabiskan baki musim di zon penyingkiran.
Bagaimanapun, JDT tidak teragak-agak untuk membuktikan kemampuan mereka dengan menjaringkan empat gol tanpa mampu dibalas skuad TRW.
Lebih memeritkan lagi, skuad Harimau Selatan yang ketika itu disahkan sebagai juara Liga Super menerima penghormatan 'guard of honor' daripada pemain TRW sebelum sepak mula.
Perkara yang disaksikan peminat bola sepak tempatan, terutama penyokong pasukan masing-masing pastinya menghadirkan rasa berbeza apabila kedua-dua kelab mempunyai masa depan tersendiri.
Sejak kekalahan itu, pertembungan JDT dan Kelantan FA gagal mendatangkan keghairahan seperti yang disaksikan sebelum ini dengan penyokong TRW bagaikan sudah kecewa akan pasukan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram