TIGA ketua jurulatih dan seorang bekas pemain menyatakan hasrat untuk mengendalikan skuad bola sepak Kelantan FC selepas pasukan itu layak beraksi pada saingan Liga Super musim depan.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, kesemua permohonan itu diterimanya dan akan diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut.
"Mereka hantar permohonan yang mana tiga ketua jurulatih itu ketika ini membawa pasukan beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan seorang lagi adalah bekas pemain bola sepak Kelantan.
"Kita dalam proses menilai jumlah gaji mereka dan selewat-lewatnya keputusan itu akan diumum bersama pemain baharu yang bermain pada musim depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Akademi Bola Sepak Antarabangsa The Red Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam.
Norizam yang juga dikenali dengan nama Zamsaham berkata, Kelantan FC akan turut melakukan rombakan melibatkan beberapa pemain bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
"Saya mendapat nasihat daripada barisan jurulatih untuk mengekalkan pemain yang bagus sahaja, jika tidak kita boleh menamatkan kontrak pemain itu.
"Begitu juga dengan pemain import, kita akan membawa masuk pemain dari beberapa negara bagi melengkapkan sembilan kuota pemain import," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai Akademi Bola Sepak Antarabangsa TRW, beliau berkata, ia merupakan perancangan jangka panjang Kelantan FC bagi melahirkan pemain muda yang kreatif, berfikiran positif dan berdisiplin.
"Kita turut akan melakukan kerjasama dengan akademik bola sepak daripada beberapa negara di benua Afrika seperti Senegal," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram