Menjelang aksi jumpa JDT, Zamsaham bagi 'warning' siap-siap


  • Podium
  • Khamis, 03 Nov 2022

Pemilik Kelantan FC itu tidak mahu insiden kurang senang berulang antara kedua-dua penyokong. — Facebook/TRW Kelantan FC

SEBELUM era kejatuhan Kelantan FA pada 2016, pasukan tersebut merupakan salah satu pencabar kepada takhta Liga Super dengan barisan pemain dan kejurulatihan terbaik.

Namun, disebabkan isu pengurusan dan struktur kewangan, mereka dilihat gagal untuk menampung kos pengoperasian sehingga menyebabkan pasukan itu jatuh ke kancah Liga Perdana pada 2018.

Kemerosotan itu mula memberi impak kepada semangat penyokong yang dahulunya sering membanjiri Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk menyaksikan persembahan pasukan kesayangan mereka itu.

Tetapi, nasib mereka kelihatan berubah sedikit demi sedikit dengan kehadiran pemilik baharu, Norizam Tukiman yang juga dikenali ramai dengan nama panggilan Zamsaham.

Keputusannya untuk menyelamatkan The Red Warriors (TRW) pada 2020 pada mulanya kurang disegani dan dan diberi perhatian penyokong yang tidak mahu meletakkan harapan besar terhadap masa depan pasukan Pantai Timur itu.

313324879_8240741409329627_7708078965647650392_n

Kelantan berjaya menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Sarawak United dengan agregat 2-1. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagaimanapun, keazaman dan langkah teliti yang diambil usahawan kelahiran Johor itu membuahkan hasil apabila mereka menduduki tangga kedua Liga Perdana musim lalu.

Selain itu, dalam kempen Piala Malaysia, Kelantan FC berjaya menepati ramalan untuk melangkah ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan Sarawak United.

Kemaraan itu bagaimanapun menemui jalan buntu apabila mereka bakal bertemu dengan juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang pastinya merupakan satu cabaran besar buat skuad TRW pada edisi Piala Malaysia kali ini.

Ketika Kelantan pernah berada di persada bola sepak tempatan, pertembungan antara kedua-dua pasukan itu sering dihujani pelbagai isu, termasuk perbalahan dan pergaduhan antara penyokong.

Perkara itu pastinya membawa kegusaran kepada pihak pengurusan kelab yang tidak mahu reputasi dan nama baik mereka dicemari oleh tindakan tidak matang segelintir peminat fanatik pasukan.

WhatsApp Image 2022-11-03 at 11.12.57

JDT menepati ramalan dengan mudah mara ke suku akhir Piala Malaysia. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Oleh itu, dalam mengelak isu sebegitu berlaku, Zamsaham bertindak segera dengan mengingatkan penyokong TRW menerusi akaun Facebooknya agar tidak mencetuskan provokasi ketika perlawanan itu.

"Kalau ada kawan-kawan kita yang buat provokasi kepada fans JDT atau mana-mana fans yang hadir ke Kota Bharu, tegurlah dia kerana kita sudah dalam zaman 2022. Lebih bertemadun dan beradab. Bola ini hiburan bukan malapetaka," tulisnya.

Perkara itu dilihat menerima sokongan seperti yang diharapkan dengan Maq Mieey turut berpendapat sedemikian, namun mengingatkan agar pihak berkuasa disediakan ketika pertembungan itu nanti.

"OK bos, kita bersama-sama jaga untuk elak perkara tidak diingini berlaku. Cuma, lebih baik siapkan polis atau paling kurang, anggota RELA dalam stadium kerana ini adalah perlawanan besar dan kita sendiri tidak berasakan suasana sebegini," katanya.

Bagi Iman Hakim pula, dia juga tidak mahu terdapat insiden pergaduhan berlaku dengan mengingatkan orang ramai bahawa sukan itu boleh menjadi wadah penyatuan masyarakat.

"Semua kita ini sebenarnya bersaudara, janganlah bergaduh. Bola sepak ini boleh menyatukan, bukan memecah belah dan kita hanya perlu menikmati sahaja," katanya.

Selain itu, seorang lagi penyokong, Mohd Amin Abdullah juga bersetuju dengan seruan itu dan berharap agar peminat setia Kelantan FC tidak termakan dengan provokasi yang cuba dilakukan.

"Biar mentaliti kita dilihat sebagai kelas pertama, jika ada pihak yang cuba mengganggu kita, tidak perlu dilayan kerana yang penting, sukan hanya perlu dinikmati dan jangan sehingga terlalu terbawa-bawa," katanya.

10 Ogos lalu, reputasi Kelantan FC sedikit tercalar apabila berlakunya pertelingkahan antara penyokong pasukan itu dan Perak FC di laman sendiri sehingga berlanjutan ke tengah padang.

Walaupun tiada tindakan lanjut daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Zamsaham pasti berhasrat agar kejadian sebegitu tidak berulang.

Kelantan FC dijadualkan menerima kunjungan JDT pada Sabtu ini sebelum bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 11 November untuk aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram