JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya menempah slot ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas mudah membenam pasukan Lembah Klang, Petaling Jaya (PJ) City FC dengan agregat 6-0.
Kemenangan 4-0 di tempat lawan disusuli dengan kejayaan untuk mendapatkan dua gol menerusi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Isnin.
Bagaimanapun, di sebalik kegembiraan itu, skuad Harimau Selatan terpalit dengan kontroversi selepas seorang pempengaruh digital dari Indonesia dilayan buruk petugas di stadium tersebut.
Individu yang dikenali menerusi akaun YouTube Vikhri itu difahamkan menerima layanan secara tidak sepatutnya daripada marshal sehingga melunturkan semangatnya untuk menyaksikan persembahan JDT pada malam tersebut.
Oleh itu, bagi meredakan keadaan, kelab bola sepak selatan tanah air itu mengambil keputusan memohon maaf ke atas Vikhri dengan mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi akaun Facebook mereka.
JDT memohon maaf dan menegaskan bahawa tindakan tatatertib sudah diambil pihak pengurusan. — JOHOR Southern Tigers
"JDT maklum mengenai satu insiden tidak diingini yang membabitkan YouTuber dari Indonesia yang melawat Stadium Sultan Ibrahim dan seorang marshal pada Isnin lalu," tulis kenyataan itu.
Tambahnya, satu tindakan tegas juga sudah diambil terhadap marshal tersebut meskipun insiden itu sudah diselesaikan antara kedua-dua pihak.
"Kami juga ingin memohon maaf kepada YouTuber tersebut atas layanan yang diterima dan ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menjelaskan perkara tersebut dan memahami bahawa ia adalah insiden terpencil.
"Kami juga senang hati mendengar bahawa para marshal lain sangat membantu dan bertolak ansur," tambah kenyataan itu.
Sejak insiden itu, laman Facebook Marshall JDT juga sudah mengeluarkan satu kenyataan dengan menegaskan bahawa satu perbincangan sudah dibuat antara kedua-dua pihak.
Di samping itu, kelab penyokong itu juga bersedia untuk memberi tawaran kepada warga Indonesia itu untuk menyaksikan aksi suku akhir Harimau Selatan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV bersama Kelantan FC.
Kedua-dua pasukan dijadualkan bertemu pada Sabtu ini sebelum aksi timbal balik bakal dilangsungkan di SSI pada 11 November nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram