SEBAGAIMANA diketahui Halloween merupakan sambutan perayaan yang popular di negara-negara barat dan ia disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
Perayaan yang terkenal dengan aktiviti memakai kostum itu menjadi kewajipan masyarakat barat yang mana mereka akan cuba bersolek dan menjadi seperti watak-watak hantu ataupun karakter berkaitan cerita seram.
Namun begitu, pada tahun ini perayaan Halloween bukan hanya disambut oleh negara bukan Islam malah ia diraikan secara besar-besaran di Arab Saudi.
Kecoh di media sosial apabila perayaan tersebut diadakan secara besar-besaran di Riyadh Boulevard, Arab Saudi yang mana dahulunya negara itu mengharamkan sambutan tersebut.
Difahamkan ia berlangsung pada Khamis dan Jumaat lalu dengan membenarkan pelawat masuk ke boulevard secara percuma dengan syarat mereka memakai pakaian menakutkan.
Perkara itu mendapat perhatian umat Islam di seluruh dunia dan ada di antaranya yang memberi komen bahawa ia adalah tanda-tanda akhir zaman.
Mengulas mengenai isu tersebut, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron menyatakan bahawa ia ada kaitan dengan akhir zaman kerana masyarakat Arab sudah kembali semula ke jahiliah.
Menurut Mufti Terengganu itu, tindakan masyarakat di Arab Saudi itu sememangnya boleh dikaitkan dengan hari kiamat namun persoalan yang lebih penting adalah tanggungjawab seorang manusia untuk melawan kemungkaran.
“Arab Saudi pun dah berbeza, kita dapati ada tanda-tanda akhir zaman berlaku. Dalam hadis pun ada menyebut mengenai bangunan tinggi-tinggi, yang susah jadi kaya-raya. Itu semua tanda-tanda.
“Nak kaitkan dengan soal kiamat memang ada, cuma persoalannya adalah kita laksanakan perintah ALLAH dengan jihad untuk lawan kemungkaran?
“Soal akhir zaman memang ALLAH tentukan. Yang berlaku dah berlaku, itu pun luar kawalan kita tapi kini ALLAH nak tengok usaha kita bawa diri sendiri dan orang lain ke jalan ALLAH,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa perayaan itu jelas haram dilakukan oleh umat Islam namun sifat seorang manusia hanya ingin mempedulikan nafsu mereka sahaja.
Jelasnya, dalam diri seseorang Muslim itu perlu memperkukuhkan perkara asas iaitu menunaikan solat bagi mencegah daripada terjerumus dengan maksiat.
“Masalah manusia ini kadang mereka tidak peduli halal haram, mereka hanya pedulikan nafsu saja.
“Oleh itu kena ada pendikan. Orang sekarang ini bila dia tak solat, jadi benda-benda haram ini dia pandang mudah. Jika dia abaikan solat, maka maksiat lain dia mudah nak amalkan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram