Budak 2 tahun dibiar sendirian di tingkat 16 kondominium Selayang, mujur jatuh ke tangan wanita prihatin


  • Tular
  • Rabu, 02 Nov 2022

Tangkap layar seorang kanak-kanak dipercayai terlepas daripada jagaan pengasuhnya dan dibantu oleh wanita.

SEORANG kanak-kanak dipercayai lingkungan usia dua tahun bernasib baik bertemu individu yang sanggup menjaga dan menghantarnya pulang ke pangkuan keluarga.

Insiden itu berlaku apabila seorang wanita melihat kanak-kanak terbabit berada di luar sebuah unit kediaman di Selayang, Selangor.

Kejadian yang berlaku di tingkat 16, Blok B, Kondominium Magnaville Selayang itu dirakam oleh wanita berkenaan.

Menerusi visual itu, kanak-kanak yang memakai kemeja-T putih lengan hijau dan seluar pendek tanpa mengenakan kasut itu bersendirian di luar rumah.

Atas dasar kemanusiaan, wanita terbabit membunyikan loceng rumah tersebut yang disangkakan kediaman kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, dia mendapat jawapan hampa apabila pemilik rumah memberitahu kanak-kanak itu bukan ahli keluarga mereka.

Wanita itu mula kebingungan dan terus berusaha untuk mencari waris dan rumah kanak-kanak berkenaan.

Kanak-kanak malang itu kemudian kelihatan menangis sambil menunjukkan sesuatu, seolah-olah mahu memberitahu lokasi rumahnya hingga membuatkan wanita berkenaan mengikutinya dari belakang.

Bagaimanapun, beberapa ketika kemudian penjaga kanak-kanak itu muncul dan segera membawanya naik ke tingkat atas bangunan.

Bagaimanapun dalam rakaman tersebut tidak menunjukkan identiti pengasuh kanak-kanak itu.

Video dimuat naik di TikTok itu menarik perhatian pengguna media sosial dan menggesa agar tindakan tegas dikenakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai.

“Kasihan. Nasib ada orang yang prihatin macam awak. Siapa yang ambil kerja pengasuh tolonglah bertanggungjawab. Jangan asal boleh saja kerja, amanah tu,” kata rumahleyoh.

“Risaunya. Patut ambil tahu betul-betul jumpa pengasuh itu atau telefon ibu bapa budak atau telefon polis saja buat laporan. Sekarang banyak kes. Ya ALLAH moga budak itu baik,” kata E T A.

majoriti2022

“Patut bawa ke balai polis. Jadi kalau ibu bapa mereka sedar anak mereka hilang, setidaknya boleh pergi ke balai polis untuk tahu keadaan semasa,” kata Syida R.

Sementara itu, seorang wanita, rinnzkfli mengaku sebagai sepupu kanak-kanak berkenaan meninggalkan komen di video tersebut.

Akaun TikTok miliknya menunjukkan paparan rakaman skrin perbualan dengan individu bernama Mak Teh.

“Pengasuh dia Melayu, tetapi pengasuh dia yang suruh mamak tu jaga dia (kanak-kanak). Mungkin pengasuh itu pergi kedai atau pergi mana tak tahulah.

“Pengasuh dia mamak bukan India,” jelas rakaman perbualan tersebut.

Pada masa sama, rinnzkfli turut mengesahkan kanak-kanak yang dipanggil Ean itu berada dalam keadaan selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram