Berdepan Sang Saka Biru, Bojan Hodak beri peluang pemain muda tunjuk hebat


  • Podium
  • Isnin, 31 Okt 2022

Bojan Hodak tidak mahu anak buahnya mengambil mudah pertemuan pada Selasa. — Facebook/KL City FC

JUARA bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City (KL City) FC memulakan kempen dalam kejohanan itu dengan bergaya selepas mudah menundukkan kelab Liga Perdana, PDRM FC dalam aksi pertama pusingan kalah mati, minggu lepas.

Kemenangan selesa 3-0 yang dicatatkan menerusi jaringan duo prolifik, Romel Morales dan Paulo Josue memberi bekalan untuk aksi timbal balik Selasa ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Bojan Hodak pastinya tidak mahu anak-anak buahnya berasa terlalu selesa bagi memastikan skuad Warga Kota dapat menempah slot ke suku akhir.

Oleh itu, mereka pastinya berhasrat untuk menurunkan kesebelasan utama terbaik bagi menyekat cubaan skuad Sang Saka Biru untuk melakukan kejutan.

Namun, menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, pendekatan taktikal itu sedikit sukar untuk direalisasikan apabila beberapa tonggak pasukan tidak dapat diturunkan.

"Pasukan perlu menukar tiga ke empat pemain kerana mereka mengalami kecederaan kecil dan skuad perlu bersedia untuk pusingan akan datang, jadi mereka tidak akan diturunkan esok," katanya kepada Majoriti.

Jelas Bojan, perkara itu tidak akan menjejaskan pasukan secara menyeluruh apabila dia akan mengambil peluang tersebut untuk memberi minit-minit permainan kepada pemain muda.

Haqimi-KL-Afc

Haqimi Azim Rosli (kanan) merupakan antara pemain muda yang dijangka bakal diturunkan ketika berdepan PDRM FC. Facebook/KL City FC

"Jadi, mungkin dua atau tiga wajah-wajah muda yang tidak mempunyai banyak peluang bersama pasukan akan diturunkan dalam perlawanan itu untuk membolehkan mereka membuktikan kebolehan," katanya.

Musim lalu, KL City FC berjaya menjulang trofi tersebut selepas menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) yang juga merupakan kali kedua pasukan Lembah Klang itu memenangi Piala Malaysia.

Perkara itu turut membolehkan pasukan itu untuk melayakkan diri ke Piala AFC 2022, yang mana skuad Warga Kota berjaya melangkah hingga ke pentas akhir.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai persiapan untuk perlawanan selepas ini, dia masih belum memutuskan barisan pemain yang bakal diturunkan kerana perlu menilai tahap kecergasan masing-masing.

"Sebahagian pemain dirasakan cergas untuk beraksi esok dan kita akan melakukan penilaian pada hari perlawanan dalam memilih siapa yang boleh diturunkan.

"Tetapi, jika melihat ketika ini, kebanyakan pemain berada dalam keadaan terbaik, namun barisan kejurulatihan akan membuat keputusan esok," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram