WALAUPUN pada awalnya dianggap sebagai pasukan ‘underdog’, namun Kuala Lumpur (KL) CIty FC berjaya membuktikan kehebatan mereka dengan berjaya melangkah ke pentas final Piala AFC 2022 menentang kelab Al-Seeb pada Sabtu ini.
Stadium Nasional Bukit Jalil dipilih sebagai venue perlawanan itu dan sekali gus bakal menjadi saksi setiap gerakan yang dipamerkan oleh barisan pemain skuad Warga Kota.
Antara gerakan pemain yang bakal mencuri tumpuan ialah penjaga benteng terakhir skuad Warga Kota yang mana penyokong akan berharap untuk menyaksikan gerakan penjaga gol akan menepis semua serangan dari pihak lawan.
Namun begitu, masih menjadi persoalan siapa penjaga gol yang akan diturunkan pengendali KL City, Bojan Hodak bagi memastikan gawang pasukan tidak dibolosi pemain dari kelab Oman itu.
Antara penjaga gol kebangsaan Filipina, Kevin Ray Mendoza dan bekas penjaga gol skuad B-22 tahun negara, Azri Abdul Ghani, masing-masing membawa peranan dalam membantu KL City sehingga ke final.
Bagaimanapun, Azri Ghani menerima dengan hati terbuka jika dirinya tidak dipilih sebagai penjaga gol utama pada perlawanan itu.
Azri Ghani mulai menyarung jersi Warga Kota pada awal Januari tahun ini. — Facebook/KL City
Malah, pemain kelahiran Kota Bharu itu bersyukur kerana menjadi sebahagian dari watak penting KL City sehingga ke berjaya membantu pasukan ke peringkat final.
Dia yang sebelum ini berpindah dari Perak FC pada awal Januari lalu berkata, bahawa keputusannya untuk berhijrah ke skuad Warga Kota tidak sia-sia.
“Ini final pertama dalam karier saya. Ini pun medal pertama. Tak rugi saya datang KL tahun ini sebab saya dapat hasil.
“Dalam padang kami fight dengan cara betul. Saya tak kisah sama ada saya atau Kevin yang diturunkan. Asal kita membantu pasukan menjuarai Piala AFC. Yang penting pemain itu bagi semua kudrat,” katanya kepada Majoriti.
Azri Ghani mengakui bahawa Kevin Mendoza lebih berpengalaman jika dibandingkan dengan dirinya.
“Pengalaman Kevin banyak lagi sebab dia skuad kebangsaan. Jika tanya saya keeper import yang ada di Malaysia, Kevin paling menonjol.
“Tidak pelik jika Bojan letakkan Kevin sebab dia boleh dipercayai,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram