BERBAKI dua hari lagi persiapan yang perlu dilakukan oleh Kuala Lumpur (KL) City FC sebelum pertembungan menentang wakil Oman, Al-Seeb pada Sabtu ini bagi pentas final Piala AFC.
Aksi penting buat wakil Malaysia itu sudah tentunya menagih sokongan ribuan penyokong dan pastinya mengharapkan agar Stadium Nasional Bukit Jalil akan dibanjiri oleh rakyat Malaysia.
Kejayaan skuad Warga Kota boleh disifatkan seperti kisah dongeng yang menjadi realiti kerana ramai tidak menyangka pasukan ‘underdog’ itu boleh berjaya sehingga ke pentas final.
Bermula dengan kemenangan Piala Malaysia 2021 sehingga ke pentas akhir Piala AFC, kejayaan KL City ini bermula sejak Bojan Hodak dilantik sebagai ketua jurulatih pada musim 2021.
Turut memuji kehebatan jurulatih kelahiran Croatia itu ialah penjaga gol skuad Warga Kota, Kevin Ray Mendoza.
Kevin mula menyarung jersi KL City pada musim 2021. — Facebook/KL City
Baginya, perwatakan jurulatih itu mungkin kelihatan tegas namun hakikatnya Bojan merupakan seorang individu yang sangat baik.
“Bojan coach yang sangat baik. Dengan taktikal yang dia ada memang bawa KL City sehingga hari ini.
“Mungkin di luar orang tengok dia garang tapi dia sangat baik,” katanya kepada Majoriti.
Bagi tonggak skuad Warga Kota, Giancarlo Gallifuoco pula menyifatkan jurulatih berusia 51 tahun itu membawa pengaruh besar kepada KL City.
Giancarlo merupakan pemain pertahanan KL City. — Facebook/KL City
Bagaimanapun, bekas pemain Tottenham Hotspur dan Swansea City dari 2012-2015 itu tidak menafikan semua individu dalam KL City memainkan peranan besar dalam menjadikan kelab itu berjaya.
“Bojan memang pengaruh yang besar dalam KL City. Tapi saya rasa kredit patut diberikan kepada semua kerana memainkan peranan untuk membawa KL City sampai sekarang.
“Bojan memang jenis ada cita-cita dan misi tersendiri dan saya harap sumbangan Bojan akan berterusan,” jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai persiapan untuk Sabtu ini, Giancarlo berkata, masing-masing pemain sudah memberikan komitmen dan disiplin sepenuhnya.
Pemain berusia 28 tahun itu berharap agar persembahan KL City nanti dapat membuat Malaysia berbangga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram