SEKTOR swasta digalakkan untuk memberi peluang pekerjaan kepada bekas atlet kebangsaan bagi memastikan mereka berdaya saing dalam alam pekerjaan walaupun sudah bersara daripada dunia sukan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, berbekalkan nilai-nilai positif yang ada dalam diri, golongan atlet dirasakan boleh menjadi sebahagian daripada tenaga kerja yang baik di negara ini.
"Bekas-bekas atlet negara adalah individu yang mempunyai latihan dan disiplin teratur serta rapi. Mereka buktikan menerusi disiplin itu, mereka berjaya dalam bidang masing-masing.
"Saya rasa dengan sifat-sifat positif itu, kebanyakan bekas atlet kita boleh memainkan peranan dan menjadi pekerja yang baik.
"Cuma kita perlu beri mereka peluang dan membuka pintu kepada golongan bekas atlet ini," katanya kepada Majoriti selepas majlis penyerahan sumbangan kepada dua bekas atlet dalam satu majlis ringkas di Wisma MCA, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, bekas atlet bola tampar, Rohana Dewa dan bekas atlet renang para negara, Koh Lee Peng menerima sumbangan RM2,500 setiap seorang tajaan Venthill Group (VH Group) dan turut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Wong.
Lian Ker (kiri) melihat hasil kraf tangan yang dijahit oleh Lee Peng untuk menyara hidupnya.
Majlis itu diadakan sempena ulang tahun pertama Majoriti dan bertujuan menyantuni bekas atlet di negara ini.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh.
Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, majikan perlu memandang kualiti yang ada dalam diri bekas atlet berbanding pengalaman kerja mereka.
"Walaupun tak dilatih dalam dengan kemahiran tertentu, mereka ada kualiti lain seperti disiplin dan saya rasa mereka akan cepat belajar dan menjadi pekerja yang baik," katanya.
Menyentuh mengenai nasib Lee Peng yang kisahnya kembali tular kerana menjual barangan secara kecil-kecilan seperti bekas tisu dan pelitup muka di sekitar Bukit Bintang, Lian Ker berkata, kementerian menerusi Yakeb memberikan dua buah mesin jahit untuk menyokong bisnes bekas Olahragawati Paralimpik 2016 itu.
"Macam Lee Peng, dia sudah menegaskan bahawa itu cara dia berdikari dan mencari rezeki, jadi kita tolong beri mesin jahit pada bulan September lalu. Apapun dia masih dalam perhatian kita," katanya.
Dalam pada itu, Lian Ker turut menggesa sektor swasta tampil ke hadapan membantu lebih ramai atlet negara kerana mereka bakal mendapat pengecualian cukai.
"Di samping bantuan melalui kerajaan, orang ramai amat digalakkan mengambil semangat caring and sharing untuk membantu para atlet.
"Bantuan boleh disalurkan melalui Yakeb yang terbukti sebagai organisasi teratur dan bertanggungjawab terhadap kebajikan bekas atlet dan mengurus pengagihan bantuan secara berstruktur," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram