YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) komited menggerakkan usaha membantu bekas atlet di negara ini termasuk membantu mereka memiliki kediaman sendiri.
Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, proses permohonan itu sedang dipertimbangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) buat masa ini.
Menurutnya, permohonan itu membabitkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur, Selangor Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak yang diperuntukkan buat bekas atlet kebangsaan dalam golongan B40.
"Yakeb juga giat menjalankan Program Ceria Atlet dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.
"Mereka akan diberi bantuan seperti membaik pulih kerosakan rumah dan pemberian sumbangan barangan keperluan seperti perabot dan kelengkapan rumah," katanya kepada Majoriti pada Selasa.
Terdahulu, Noorul Ariffin menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an, Salahuddin Che Ros dalam satu majlis ringkas di Yakeb, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Sumbangan itu ditaja oleh Venthill Group (VH Group) dan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Wong.
Dalam perkembangan berkaitan, Noorul Ariffin berkata, pembangunan Wisma Yakeb seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap bakal menjadi pusat kecemerlangan bekas atlet.
"Saya percaya kemudahan ini pastinya membolehkan Yakeb dapat teruskan program atau kursus di bawah fasiliti lebih besar. Ia juga mungkin akan jadi sumber pendapatan baharu untuk Yakeb.
"Yakeb mahu memperbanyakkan usaha membantu bekas atlet terutama daripada sudut bantuan yang disalurkan seperti meringankan beban perubatan dan peralatan sokongan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram