'Mungkin tiada rezeki', Salahuddin akui pernah terima tawaran jurulatih daripada FAM


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Salahuddin diduga dengan penyakit jantung sejak 2011 dan perlu mengumpul duit untuk menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM80,000.

MENJADI impian sebahagian pemain bola sepak untuk terus menabur bakti dalam sukan itu dengan menjadi jurulatih sesebuah pasukan.

Bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Ros, 53, dia juga pernah memasang cita-cita itu, namun tidak kesampaian berikutan masalah kesihatan yang dihidapi.

Salahuddin yang juga bekas pertahanan pasukan Pahang mengakui dia pernah menerima tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan lesen jurulatih skuad remaja pada 2018.

"Ketika itu, FAM ada hubungi kata nak bantu saya ambil sijil kursus kejurulatihan skuad remaja. Bagaimanapun, saya tidak terima jawapan balas daripada FAM. Mungkin mereka bimbang kerana saya ada masalah jantung.

"Saya pun ada bagi laporan doktor dalam permohonan tapi tak tahulah...saya cuba tanya lagi tapi lepas tu bertukar orang dan kena buat permohonan baharu, jadi saya let go, mungkin tiada rezeki," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Salahuddin ditemui ketika majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM2,500 tajaan Venthill Group (VH Group) di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Selain Salahuddin, tiga lagi atlet akan menerima bantuan sama daripada VH Group berjumlah keseluruhan RM10,000 menerusi kerjasama syarikat logistik itu dengan Yakeb dan Majoriti.

Penyampaian replika cek disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Venthill Group, Simon Wong dan disaksikan Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Turut hadir, legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek dan Pengarang Kanan mStar, Niezam Abdullah.

. Majlis penyerahan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an, Salahuddin Che Rose oleh Venthill Group dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan dan Majoriti. KAMARUL ARIFFIN/The Star.

Simon (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Salahuddin pada majlis penyerahan sumbangan bekas atlet kerjasama Yakeb dan Majoriti di Yakeb, Bukit Kiara pada Selasa.

Bertutur lanjut, Salahuddin berkata, walaupun agak ralat namun dia perlu akur dengan ketentuan hidupnya.

"Tak apalah, mungkin belum masanya...kita pun dah macam ni (tidak sihat). Tiada rezeki sekalipun, saya tak kisah...past is past, jadi saya move on dengan kehidupan," katanya.

Salahuddin diduga dengan penyakit jantung sejak 2011 dan perlu mengumpul duit untuk menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM80,000.

Dia yang hidup dengan 'jantung bateri' pernah mendapat perhatian Majoriti kerana terpaksa menjual minyak wangi bagi menampung kos rawatan penyakitnya.

Salahuddin yang pernah membantu Pahang menjuarai Piala Malaysia pada 1992 sebelum berhijrah ke Pulau Pinang berkata, setiap bulan dia perlu menjalani rawatan untuk jantung di Institut Jantung Negara.

Ketika era kegemilangannya, Salahuddin pernah menganggotai skuad projek Olimpik Barcelona 1992 atau Barcelona Babes bersama beberapa legenda pemain bola sepak termasuk Azman Adnan, Datuk Ong Kim Swee dan ramai lagi.

Pada masa sama, dia juga pernah membentuk gandingan mantap bersama Alan Davidson ketika bersama skuad Tok Gajah selepas Barcelona Babes dibubarkan selain menjadi tonggak pertahanan ampuh ketika bersama Pulau Pinang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram