CEO VH Group beri 2 cadangan sektor swasta bantu bela nasib bekas atlet


  • Massa
  • Selasa, 25 Okt 2022

Simon (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Salahuddin pada majlis penyerahan sumbangan bekas atlet kerjasama Yakeb dan Majoriti di Yakeb, Bukit Kiara pada Selasa.

PEMBERIAN insentif cukai pendapatan boleh dilaksanakan kepada syarikat-syarikat swasta dan korporat bagi menggalakkan mereka bekerjasama dalam aktiviti penajaan bekas atlet di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Venthill Group (VH Group), Simon Wong berkata, pembabitan lebih banyak syarikat swasta akan memperluas skop bantuan kepada bekas atlet agar nasib mereka terus mendapat perhatian.

Dia sendiri terpanggil untuk menjalinkan kerjasama dengan Majoriti dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bagi menyantuni bekas atlet negara di negara ini.

"Saya percaya semua syarikat korporat dan swasta sama ada perusahaan kecil atau sederhana boleh laksanakan apa-apa program untuk menaja bekas atlet.

"Jika usaha ini mendapat sokongan kerajaan dari segi pemberian insentif cukai misalnya, pasti banyak syarikat akan tampil berbuat demikian dalam usaha membela nasib mereka.

"Sektor swasta juga akan dapat menyantuni lebih ramai bekas atlet dengan suntikan dana lebih banyak tanpa perlu bergantung kepada dana kerajaan semata-mata," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Simon menyerahkan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an, Salahuddin Che Ros dalam satu majlis ringkas di Yakeb, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Majlis yang turut dihadiri Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed itu diadakan sempena ulang tahun pertama Majoriti dan bertujuan menyantuni bekas atlet di negara ini.

Turut hadir, legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek dan Pengarang Kanan mStar, Niezam Abdullah.

Sementara itu, Simon berkata, sektor swasta juga boleh mempertimbangkan untuk memberi peluang pekerjaan kepada bekas atlet negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

. Majlis penyerahan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an, Salahuddin Che Rose oleh Venthill Group dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan dan Majoriti. KAMARUL ARIFFIN/The Star.

Simon berkata, VH Group berhasrat untuk membuka pintu kepada bekas atlet dan menggaji sebahagian daripada golongan tersebut sebagai kakitangan.

Menurutnya, VH Group sendiri berhasrat untuk membuka pintu kepada bekas atlet dan menggaji sebahagian daripada golongan tersebut sebagai kakitangan.

"Untuk peringkat awal, saya boleh berbincang dengan pengurusan untuk meneliti semula skop kerja bersesuaian yang boleh ditawarkan kepada mereka,

"Sebagai syarikat yang menyediakan perkhidmatan logistik bersepadu, pekerja perlu kemahiran khusus dalam bidang tertentu.

"Contohnya kerja pemandu treler pun perlu lesen khas, jadi mungkin sukar untuk mereka (bekas atlet) tapi kalau bahagian dokumentasi, ia boleh dipertimbangkan kerana kerja lebih fleksibel dan mudah.

"Apapun saya akan teliti semula hal namun saya berbesar hati untuk berbuat demikian," katanya.

Simon turut menzahirkan rasa gembira kerana dapat membantu bekas atlet yang pernah mencurahkan bakti dan keringat mereka untuk membawa balik pingat kepada negara.

Dia berharap lebih banyak pihak boleh mencontohi VH Group dengan memberikan sumbangan kerana dana yang diterima pasti dapat membantu golongan atlet menjalani kehidupan lebih baik.

"Dengan pengalaman, skil dan ilmu yang mereka ada itu akhirnya akan dapat dicurahkan kepada generasi muda dan kelangsungan bidang sukan negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram