Tewas ditangan NSFC, Kedah tetap percaya kemampuan pemain muda


  • Podium
  • Khamis, 27 Okt 2022

Pemain Kedah, Mohd Aiman Afif Md Afizul (kiri) diasak pemain Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee pada perlawanan TM Piala Malaysia 2022 di Stadium Darul Aman, Rabu. — Bernama

BARISAN pemain muda Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan terus diberi peluang untuk diturunkan setelah menunjukkan prestasi cemerlang dalam membantu pasukan meskipun Sang Kenari tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan FC pada perlawanan pembukaan Piala Malaysia, Rabu.

Ini kerana pemangku ketua jurulatih Kedah, Victor Andrag yakin anak buahnya mampu bangkit pada perlawanan timbal balik Piala Malaysia menentang skuad Jang Hobin, 1 November nanti.

Tambahnya, beberapa perubahan serta percaturan mesti dilakukan demi masa depan pasukan Sang Kenari dalam mengharungi kempen saingan Piala Malaysia

"Saya berharap kita dapat menambah baik kelemahan ke arah lebih baik. Sebenarnya perubahan corak permainan yang kita lakukan sudah nampak hasilnya, cuma kita tak boleh nak mengubah seluruh keadaan dalam masa singkat, jadi kita buat sedikit demi sedikit.

"Tapi saya tetap memberi pujian dan kredit kepada pemain terutama pemain muda yang baru beraksi kerana telah membuktikan kebolehan mereka, tapi pengalaman yang membezakan kita dengan pasukan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan K. Devan berkata kemenangan ke atas KDA FC bukan sesuatu yang boleh dianggap 'selesa', sebaliknya semua pemainnya perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan timbal balik di laman sendiri nanti.

Katanya, keputusan itu dianggap seimbang kerana KDA FC masih berpeluang menjaringkan gol pada perlawanan kedua nanti, sekali gus boleh mengancam kedudukan pasukannya untuk ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Malaysia.

"Hanya kemenangan demi kemenangan yang dapat membuka peluang untuk ke pusingan seterusnya hingga final Piala Malaysia. Kami perlu bermain lebih baik di tempat sendiri berbanding hari ini.

"Jadi saya rasa pemain-pemain saya tak akan lepaskan peluang untuk membawa pasukan ke peringkat seterusnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram