Bukan cakap kosong, 'fans' ada 3 sebab meyakinkan Darren Lok akan ke Sabah musim depan


  • Podium
  • Rabu, 26 Okt 2022

Penyokong Sabah FC menyambut baik berita penyerapan Darren ke dalam skuad The Rhinos musim depan. — Bernama

KETUMPULAN bahagian jentera serangan Sabah FC bukan lagi satu rahsia buat peminat bola sepak tempatan setelah aspek tersebut dikatakan menjadi punca kepada kegagalan saat akhir Sabah FC di pentas Liga Super 2022.

Daripada megah sebagai pasukan kedua terbaik di belakang Johor Darul Takzim, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee goyah di beberapa saingan akhir Liga tersebut sehingga mampu dipintas Terengganu FC (TFC) pada penghujung saingan liga.

Kejatuhan Skuad Sang Badak itu menafikan peluang mereka untuk melayakkan diri ke perlawanan Piala AFC musim depan setelah pertukaran peraturan diumumkan pada saat akhir oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Justeru, sudah pasti skuad Sang Badak mahu mempercepatkan proses mengisi kelompongan pada bahagian serangan mereka sekali gus menyeimbangkan kekuatan dalam pasukan mereka ketika musim baharu kelak.

Baru-baru ini, penyerang berbisa TFC, Tchetche Kipre memberi bayangan bahawa dia akan berpindah ke Sabah FC apabila memuat-naik gambar bendera Malaysia bersama bendera Sabah dengan kapsyen "Ini adalah Malaysia dan ‘destinasi seterusnya’"

Namun, terdapat satu lagi nama menjadi idaman penyokong Sabah FC untuk membantu mereka memperbaiki prestasi pada persaingan-persaingan akan datang dan kali ini dia adalah pemain tempatan.

Pemain tersebut merupakan penjaring terbanyak Liga Super bagi kategori pemain tempatan musim ini iaitu penyerang Petaling Jaya City FC, Darren Lok.

Berikut antara sebab mengapa desas-desus perpindahan pemain berusia 31 tahun tersebut ke pasukan Sabah FC yang meyakinkan peminat-peminat bola sepak tempatan.

Tangkap layar muat naik status sama dalam dua group hartanah berbeza yang dipercayai milik isteri Darren.

1. Muat naik status individu yang dipercayai isteri kepada Darren

Tangkap layar muat naik status seorang wanita di laman hartanah Sabah menjadi tular apabila namanya memiliki persamaan dengan nama isteri pemain kacukan Cina-Inggeris tersebut.

Lebih meyakinkan, gambar profil wanita bernama Abigail Mary Ryan itu seakan-akan serupa dengan gambar Darren serta isterinya.

“Saya dan suami saya akan berpindah ke KK (Kota Kinabalu) pada Disember atau Januari dan sedang mencari rumah untuk disewa,” jelas individu tersebut.

Tangkap layar muat naik Wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkenaan status PJ City.

2. Khabar angin penutupan PJ City

Ciapan wartawan Nadi Arena, Zuhelmi Zainal Azam pada 1 Oktober lalu turut memberi bayangan bahawa pasukan tersebut bakal 'tutup kedai' pada musim depan.

Khabar angin tersebut dipercayai ekoran daripada kegagalan pengurusan PJ City tersebut gagal mendapatkan pelaburan diperlukan selain mengukuhkan status kewangan mereka.

"Steady PJ City, walaupun ada gosip nak tutup tahun depan tapi tetap berjaya menang dengan menewaskan Kedah 1-0 di tempat lawan sekali gus kekalkan rekod empat perlawanan tanpa kalah," katanya.

Tangkap layar status Darren Lok

3. Status Facebook Darren Lok

Pada masa sama, Darren Lok memuat naik kata-kata penghargaan kepada pasukannya yang mampu memberikan saingan meskipun tidak dianggotai oleh sebarang pemain import selama dua musim ini.

Sekiranya benar jangkaan wartawan Nadi Arena itu, kata-kata Darren boleh dianggap sebagai ucapan selamat tinggal kepada pengalaman berharganya bermain bersama pasukan paling unik dalam Liga Malaysia itu.

"Satu gol dan satu lagi kemenangan, untuk menamatkan liga dengan teguh. Bagi saya, pasukan terdiri daripada semua pemain tempatan ini seharusnya berbangga dengan pencapaian kita sepanjang dua musim lalu," luah Darren.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram