Barisan kebangsaan Oman kuasai Al-Seeb, Hodak enggan tekan butang panik


  • Podium
  • Selasa, 18 Okt 2022

KL City mahu kenangan menjulang Piala Malaysia di SNBJ menjadi tonik mereka pada aksi final AFC Sabtu nanti.

KEHADIRAN pemain-pemain antarabangsa Oman dalam pasukan Al-Seeb dijangka memberikan cabaran getir buat KL City FC pada saingan final Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pemain-pemain tersebut adalah Mohammed Al-Musalami, Abdul Aziz Al-Muqbali, Ali Al-Busaidi, Salah Al-Yahyaei, Muhsen Al-Ghassani, Juma Al-Habsi, Abdul Gheilani, Ahmed Faraj Al-Rawahi, Mohamed Al-Amri dan Marwan Mubarak.

Menurut ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, kekuatan barisan pemain Al-Seeb tidak dapat disangkal memandangkan pasukan kebangsaan Oman kini berada di ranking ke-75 dunia.

"Mereka memiliki enam orang pemain kebangsaan (ketika diturunkan menentang pasukan Al-Riffa dari Bahrain final peringkat zon) dan kebanyakan mereka adalah pemain terlibat dalam perlawanan menentang Jepun pada kelayakan Piala Dunia pada tahun lalu.

"Pasukan kebangsaan mereka kini berada di ranking ke-75 dunia manakala pasukan kebangsaan kita pula berada di tangga ke-146. Di situ sudah jelas perbezaan kekuatan antara dua pasukan," katanya kepada Majoriti pada Selasa.

Biarpun begitu, Bojan enggan tekan butang panik memandangkan KL City memiliki kelebihan sebagai pasukan tuan rumah dan tahap kecergasan pemain-pemainnya juga berada dalam keadaan baik.

Al-Seeb FC membenam pasukan Al-Riffa 4-0 untuk mara ke final Piala AFC. AFC Cup

Menurutnya, sistem penggiliran yang dilaksanakan pada beberapa perlawanan lalu membolehkan skuad The City Boys mendapat rehat yang mencukupi bagi menghadapi saingan sengit itu nanti.

"Pemain-pemain kami berada dalam keadaan baik dan tiada siapa cedera. Pada dua perlawanan lalu, kami terpaksa melakukan penggiliran pemain supaya pemain-pemain cukup rehat," tambahnya.

Mengulas mengenai teknologi video pembantu pengadil (VAR) yang bakal digunakan pada perlawanan tersebut, Hodak mengakui perlaksanaan sistem itu tidak memberi sebarang impak pada pasukannya.

"VAR tidak memberi sebarang impak pada pemain, cuma dapat membantu pengadil sahaja.

"Ia tidak merubah hakikat bahawa pasukan Al-Seeb sememangnya lebih kuat berbanding semua pasukan yang kami telah temui pada peringkat sebelum ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram