Bukan 2 bulan, tapi Bos Zam lewat bayar gaji PSPS Riau 10 hari


  • Podium
  • Khamis, 27 Okt 2022

Zamsaham sebelum ini dilaporkan bersedia melepaskan pemilikannya dalam kelab bola sepak Indonesia itu. — Facebook

KELAB PSPS Riau menafikan desas-desus kononnya pengurusan kelab gagal melunaskan bayaran gaji pemain selama dua bulan seperti yang tersebar di media sosial.

PSPS Riau dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa kelab itu sebenarnya lewat membuat pembayaran gaji selama 10 hari dan bukanlah dua bulan seperti yang didakwa.

"Ada desas-desus yang tersebar di media sosial bahawa PSPS Riau mempunyai tunggakan gaji selama dua bulan. Di kesempatan ini, pihak pengurusan ingin menegaskan bahawa isu gaji pemain tertunggak selama dua bulan adalah tidak benar.

"Untuk makluman, gaji yang belum dibayar adalah untuk September 2022 dan gaji yang akan dibayar pada bulan berikutnya adalah pada Oktober 2022.

"Di dalam kontrak antara pemain dan kelab yang telah ditandatangani tertera/ tertulis di dalamnya bahawa gaji akan dibayar pada 7hb setiap bulan berikutnya dengan tempoh tangguh 10 hari.

"Ini bermakna kelab lewat membayar dengan kiraan 10 hari dan bukan dua bulan seperti maklumat yang tersebar di media sosial," kata kenyataan tersebut di laman Facebook rasmi PSPS Riau pada Khamis.

PSPS Riau berkata, kelab pada masa ini dalam proses menggunakan dana yang besar untuk perpindahan stadium (home base).

"Selain itu, pihak kelab masih menunggu jika ada pembelian daripada kumpulan penyokong atau individu yang berminat.

"Pemain, kakitangan kejurulatihan dan staf pasukan lain sedang dinilai dan ada yang telah ditamatkan kontrak kerana prestasi yang tidak memuaskan," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa, pemilik kelab PSPS Riau, Norizam Tukiman bersedia melepaskan pemilikannya dalam kelab bola sepak Indonesia itu.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun hanya akan melepaskan kelab tersebut jika pemilik baharu dapat membayar 81 peratus saham yang bernilai 15 bilion rupiah (RM4.58 juta). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram