MINGGU lalu, penyokong Sabah FC dihidangkan dengan berita gembira yang mana pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-su dikekalkan dalam skuad Sang Badak untuk menghadapi kempen Liga Super musim depan.
Lebih menggembirakan penyokong, pemain tengah berusia 32 tahun itu bukan setakat diikat satu musim, malah disambung selama dua tahun lagi sehingga 2024.
Lanjutan kontrak yang diberikan kepada Tae-su itu jelas menunjukkan bahawa khidmatnya sangat diperlukan untuk membantu Sabah FC mendapatkan slot ke Piala AFC dan sekali gus memberi saingan sengit pada pasukan lawan musim depan.
Selepas pengumuman dari pihak Sabah FC mengenai kontrak pemain kelahiran Korea Selatan itu, ada juga penyokong yang mempersoalkan bagaimana nasib pemain The Rhinos yang lain.
Tae-su diikat kontrak baharu selama selama dua tahun. — Facebook/Sabah FC
Menjawab persoalan penyokong itu, Pengurus Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir menyatakan bahawa kontrak pemain lain sudah disediakan.
Bagaimanapun, semua barisan pemain itu akan diumumkan secara rasmi dari pihak Sang Badak nanti.
“Tunggu pengumuman rasmi dari kami. Kontrak semua sudah sedia ada tapi kami tak nak umum. Nama dah ada. Pemain pun tunggu saya, ada yang dah sign kontrak awal.
“Pemain tahun ini memang ada. Jika tiada pemain tahun ini macam mana nak main tahun depan untuk cukupkan 30 orang,” katanya kepada Majoriti.
Malah, Marzuki turut tidak menafikan bahawa pihak Sabah akan membawa masuk beberapa muka baharu pada musim depan bagi memperkukuh pasukan.
“Kita kena hormat ada pemain yang masih mempunyai kontrak dengan pasukannya. Memang ada pemain baharu. Tahun depan kan perlawanan semakin banyak jadi perlu ada skuad yang kukuh,” tambahnya.
Sementara itu, Marzuki turut sempat mengulas mengenai kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC dalam aksi pertama peringkat 16 pasukan Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, pada Rabu.
Antara aksi pemain Sabah FC pada perlawanan menentang UiTM FC pada Rabu. — Facebook/UiTM FC
Meskipun bermain tanpa pemain utama, Marzuki berbangga dengan The Rhinos kerana mampu menewaskan UiTM dengan hanya mempertaruhkan khidmat pemain-pemain simpanan.
“Memang gembira dengan kemenangan semalam walaupun kita ketiadaan pemain utama. Tetapi, pemain yang dimasukkan itu dapat berikan komitmen yang baik.
“Kita tak kisah siapapun yang main sama ada dia pemain utama atau tidak, yang penting mereka kena beri komitmen yang penuh. Ini adalah peluang buat mereka tunjukkan kobolehan kepada coach,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram