PERTAHANAN Johor Darul Takzim (JDT), Shahrul Saad mengakui satu kepuasan tersendiri selepas berjaya melakar jaringan pertamanya musim ini pada aksi pembukaan TM Piala Malaysia 2022 pada Rabu.
Jelasnya, dia sudah lama menanti detik berkenaan dan berharap gol yang dicipta pada minit ke-4 bagi menewaskan PJ City 4-0 akan menyuntik motivasinya dalam menambah lagi koleksi jaringan bersama JDT.
Selain itu, Shahrul berkata, kemenangan itu juga membuktikan semangat berpasukan menjadi teras kekuatan JDT walaupun mereka turun tanpa penggempur utama, Bergson da Silva.
“Secara peribadi, sudah lama saya menunggu lakukan jaringan untuk JDT pada musim ini dan sangat gembira kerana berjaya mendapatkan gol yang penting kepada pasukan dalam perlawanan ini.
“Saya harap gol ini dapat beri semangat bagi menghadapi perlawanan seterusnya dan sentiasa berkeyakinan jika mendapat peluang bagi lakukan jaringan.
“Bukan kami tidak perlukan Bergson selepas menang selesa malam ini tetapi paling penting menunjukkan semangat berpasukan di dalam JDT sangat baik.
“Sesiapa yang boleh membantu pasukan, kami akan sentiasa berikan yang terbaik bagi mendapatkan gol selain satu lagi, gawang kami tidak dibolosi dan diharapkan di sana tidak ada masalah buat kami,” katanya dalam kenyataan MFL.
Safawi berjaya menjaringkan gol keempat peribadinya bersama JDT di pentas Liga Malaysia. — Facebook
Dalam perlawanan itu, sepakan penjuru dari sebelah kanan yang diambil Arif Aiman berjaya ditanduk kencang Shahrul yang langsung tidak diberikan sebarang tekanan oleh pemain-pemain PJ City.
Gol daripada Shahrul jelas menyemarakkan semangat perjuangan JDT yang terus menambah kelebihan melalui Safawi Rasid pada minit ke-39 dengan Shahrul juga bertindak pengumpan melalui hantaran jarak jauh.
Dua lagi jaringan JDT terhasil di separuh masa kedua menerusi Akhyar Rashid (minit ke-70) dan Fernando Forestieri (minit ke-79).
Sementara itu, Safawi turut melaungkan kepuasan apabila diturunkan dalam kesebelasan utama dan berjaya menjaringkan gol keempat peribadinya bersama JDT di pentas Liga Malaysia.
Namun, apa paling penting buat Safawi adalah kejayaan pasukan yang berjaya membawa bekalan selesa untuk dibawa pulang ke Stadium Sultan Ibrahim menjelang perlawanan kedua pusingan 16 pada 31 Oktober.
“Pertama sekali saya mahu ucap tahniah kepada pemain dan pegawai serta terima kasih kepada penyokong yang datang dari selatan tanah air dengan kemenangan ini.
“Gol ini bakar semangat serta motivasi sebab dah lama tidak diturunkan namun kita masih ada pertemuan kedua di Johor.
“Sememangnya ini satu bekalan selesa tetapi kami masih melihat lagi untuk pertemuan kedua dan akan terus pamerkan prestasi terbaik di laman sendiri,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram