Jadi rebutan Kedah-Pahang-JDT, status 'injury prone' bintang import Perancis undang tanda tanya


  • Podium
  • Rabu, 26 Okt 2022

Vincent Bezecourt kini beraksi bersama kelab Singapura, Geylang International. — Agensi

SELAIN aksi Piala Malaysia 2022 yang dinantikan penyokong bermula Rabu, persediaan setiap pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super musim depan juga menjadi tumpuan ramai.

Pelbagai khabar angin mula meniup melibatkan pemain dalam Liga Super sama ada kekal bersama pasukan atau berhijrah sebaik musim baharu membuka tirainya.

Terbaharu, muncul pula khabar angin berkaitan seorang pemain dari Perancis, Vincent Bezecourt yang dikatakan akan menyertai Liga Super musim depan.

Malah, dikhabarkan terdapat sekurang-kurangnya tiga kelab tempatan yang menyatakan minat untuk membawa masuk pemain berusia 29 tahun itu.

Bermain di posisi tengah, Bezecourt dilihat boleh mengisi kekosongan dan menambah kekuatan kepada tiga kelab iaitu Kedah Darul Aman (KDA FC), Sri Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT).

Vincent-Bezecourt-3x2-Photo-Geylang-scaled

Vincent Bezecourt kini beraksi bersama Geylang International. — Agensi

Untuk Sang Kenari, Bezecourt boleh dijadikan pengganti jika Mahmoud Al Mardi memilih untuk meninggalkan pasukan apatah lagi beberapa kelab lain juga sedang mengintainya.

JDT juga boleh menggunakan khidmat Bezecourt sebagai tambahan kepada pemain import bagi mengharungi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Malah, Bezecourt juga sebelum ini sudah banyak kali beraksi dalam saingan kejuaraan antarabangsa termasuk di UEFA.

Sri Pahang pula sehingga ke penghujung liga masih bergelut dengan posisi tengah yang tumpul dan kemasukan Bezecourt mungkin boleh menjadi tonik segera untuk menguatkan pasukan bagi saingan musim depan.

Namun, Bezecourt yang kini beraksi di Liga Singapura bersama pasukan Geylang International itu juga mempunyai sejarah kecederaan yang cukup lama.

Vincent Bezecourt (Photo - New York Red Bulls)

Vincent Bezecourt pernah terlepas 34 perlawanan ketika bersama New York Red Bulls gara-gara kecederaannya. — Agensi

Untuk rekod, ketika Bezecourt bersama kelab New York Red Bulls, dia pernah terlepas 34 perlawanan kerana kecederaan pada 2017 dan 2018.

Kecederaan pertama ialah di bahagian ligamen yang menyaksikan dia direhatkan selama lebih lapan bulan bermula Jun 2018.

Sebulan selepas dia pulih dan beraksi semula di padang, dia mengalami satu lagi kecederaan di bahagian lutut dan terpaksa berehat selama 34 hari.

Kecederaan yang dialami itu mungkin akan berulang kembali dan agak sukar untuk menentukan adakah tiga pasukan ini sanggup mengambil risiko untuk mengambil pemain itu beraksi bagi saingan Liga Super musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram