232,000 pekebun kecil getah terima bantuan BMT RM600


  • Primer
  • Selasa, 25 Okt 2022

Mahdzir (empat dari kanan) bersama sebahagian daripada penerima dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang.

SERAMAI 232,000 pekebun kecil getah yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM600.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan itu akan dibayar sebanyak RM300 sebulan pada November dan Disember depan.

"Sekarang dah siap (senarai penerima), jumlah penerima itu dah ada, cuma kita tunggu peruntukan, kalau peruntukan itu masuk kita bayar, tak terjejaslah, bayaran itu memang berjalan. Insya-ALLAH kita bayar.

"Untuk tahun ini, itu dasar sedia ada yang kita guna bagi tujuan pembayaran BMT tetapi kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar BMT tahun 2023 daripada RM600 sekarang kepada RM800," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Kampung Mela di Pahang pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Menurut Mahdzir, bayaran BMT tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM191 juta.

Menerusi majlis itu juga, Mahdzir turut menyampaikan dividen Program Tanam Semula Komersil (TSK) RISDA peringkat negeri Pahang yang berjumlah lebih RM39 juta.

Dividen tersebut adalah hasil pulangan melalui pengurusan yang cekap oleh RISDA Plantation Sdn Bhd kepada 5,590 orang peserta projek TSK seluruh negeri Pahang.

Dalam pada itu, katanya, Program Tanam Semula Getah setakat ini telah mencapai lebih 10 ribu hektar melibatkan 7,180 Pekebun Kecil dengan bayaran berjumlah hampir RM61.6 juta.

Tahun ini, katanya, RISDA menerima permohonan untuk tanam semula semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil.

"Walaupun sektor getah berdepan dengan pelbagai cabaran, saya percaya peningkatan keluasan penanaman getah ini adalah berikutan peningkatan nilai bantuan kepada RM13,710 bagi Semenanjung negara berbanding RM9,230 sebelum ini yang telah menarik minat ramai pemilik tanah untuk mengusahakan tanaman getah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram