[VIDEO] Dua kali malang, remaja dirogol ketika keluar tukar duit tabung, detik hitam dirakam tanpa kerelaan


  • Benua
  • Selasa, 25 Okt 2022

Sekumpulan lelaki yang berada di tempat kejadian dilihat mengambil kesempatan merakam video mangsa serta menyebarkan rakaman itu di media sosial.

PENDUDUK di salah sebuah rumah tamu kerajaan bertempat di Kannauj Uttar Pradesh, Lucknow, India dikejutkan dengan penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan cedera dan berlumuran darah pada Ahad.

Sebelum kejadian, gadis itu dilihat berjalan bersama seorang lelaki menuju ke premis berkenaan dan kejadian itu berjaya dirakam kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

Ketika ditemui, remaja berusia 13 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan selepas dilaporkan hilang beberapa jam dari rumah.

Pihak keluarga mangsa juga sudah membuat satu laporan polis dan pihak berkuasa mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kes rogol.

Turut tular satu rakaman video memaparkan remaja tersebut dilihat cuba meminta bantuan dengan menghulurkan tangannya sambil mengerang kesakitan.

Namun lebih malang, rintihannya itu tidak diendahkan dan sekumpulan lelaki yang berada di tempat kejadian, sebaliknya mengambil kesempatan merakam video serta menyebarkan rakaman itu di media sosial.

Menurut bapa saudara mangsa, anak saudaranya itu keluar dari rumah untuk menukar duit tabung pada Ahad.

"Dia ditemui di dalam semak premis tersebut dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Anak saudara saya juga mengalami pelbagai kecederaan, termasuk luka serius di kepala.

"Kami mengesyaki dia mungkin diserang secara seksual," katanya memetik laporan media NDTV.

Sementara itu, Superintendan Polis, Kunwar Anupam Singh berkata, gadis bawah umur itu ditemui dalam keadaan cedera dan polis tempatan membawanya ke hospital untuk rawatan.

"Polis sedang giat mengesan mencari lelaki yang dilihat dalam rakaman CCTV," katanya dalam satu kenyataan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram