TFC tawar kontrak lanjutan, Kedah berputih mata sambar Nafuzi Zain?


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Khidmat Nafuzi mula ditagih beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk Kedah berikutan status kontraknya bersama TFC sebelum ini. — Facebook/Terengganu FC

TEKA-TEKI mengenai masa depan ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akhirnya terjawab selepas satu pertemuan ahli Lembaga Pengarah memutuskan untuk menawarkan kontrak lanjutan kepadanya.

Perkara itu diumumkan Exco Sukan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi laman rasmi Facebooknya pada Selasa selain membincangkan beberapa perkara lain mengenai pasukan itu.

"Mesyuarat hari ini telah bersetuju untuk mengekalkan saudara Nafuzi Zain sebagai Ketua Jurulatih TFC dan akan membuat tawaran kepada beliau selepas ini mengikut bajet yang disediakan," tulisnya.

Sebelum ini, status kontrak Nafuzi menjadi tanda tanya apabila pihak pengurusan seperti enggan untuk melanjutkan tempoh ketua jurulatih berusia 44 tahun itu.

Bagaimanapun, perkara tersebut menerima respons negatif daripada penyokong yang mengharapkan agar Nafuzi untuk terus kekal membimbing pasukan itu.

Pengendali berpotensi itu turut menarik minat beberapa pasukan Liga Malaysia, terutama Kedah Darul Aman FC yang mahu membawa masuk anak kelahiran Kelantan itu.

Dalam masa sama, kenyataan itu juga menyebut bahawa ketua jurulatih pasukan simpanan, iaitu Terengganu FC II, III dan IV akan turut diberi lanjutan kontrak.

Musim ini, sentuhan magis Nafuzi ternyata memberi kelebihan buat Terengganu FC selepas pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua, sekali gus membolehkan mereka beraksi di pentas Asia musim depan.

Selain itu, skuad Sang Penyu juga berjaya mara ke peringkat akhir Piala FA meskipun tewas dengan skor 1-3 di tangan juara liga, Johor Darul Takzim (JDT).

Mereka selepas ini bakal berdepan Sri Pahang FC dalam kejohanan Piala Malaysia dalam usaha memburu kejuaraan pertama sejak 2011. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram