PEMAIN tengah baharu Chelsea, Denis Zakaria mengesahkan bahawa sebuah lagi pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dalam usaha mendapatkan khidmatnya buat musim 2022/23.
Zakaria, yang menyertai The Blues daripada kelab Itali, Juventus dalam satu perpindahan berbentuk pinjaman dalam usaha menambah baik kualiti bahagian tengah pasukan itu.
Jelasnya, pihak pengurusan The Reds pernah menghubungi ejennya untuk membincangkan perkara itu sebelum mereka memilih untuk mendapatkan rakan sepasukannya di Juventus, Arthur Melo.
Zakaria pernah beraksi bersama Juventus dan Borussia Monchengladbach. — Agensi
"Saya ada dengar perkhabaran daripada ejen yang mengatakan Liverpool berminat, tetapi pada penghujungnya, Chelsea merupakan destinasi untuk meneruskan karier saya.
"Ia berlaku dengan sangat pantas dan saya sendiri pun tidak tahu bahawa perpindahan ke kelab London itu mampu dilakukan kerana enam jam sahaja sebelum jendela perpindahan ditutup ketika itu," katanya kepada Goal.com.
Pada jendela musim panas lalu, kedua-dua gergasi EPL tersebut bertungkus-lumus bagi mendapatkan seorang pemain tengah berikutan isu kecergasan dan kontrak yang melanda.
Bagi Chelsea, dua tonggak pasukan, N'Golo Kante dan Jorginho semakin menghampiri tahun-tahun terakhir dalam kontraknya sementara Liverpool kelihatan sukar untuk mendapatkan khidmat daripada Thiago dan Naby Keita secara kerap.
Selain itu, pengendali The Reds, Jurgen Klopp juga perlu menambah baik bilangan pemain tengah yang berkaliber dengan Jordan Henderson serta James Milner semakin berusia.
Setakat ini, pemain antarabangsa Switzerland itu masih belum berpeluang untuk beraksi bersama Chelsea apabila kepercayaan masih lagi diberikan kepada Kante dan Jorginho.
Namun, dengan jadual padat dalam saingan EPL dan Liga Juara-juara UEFA (UCL), Zakaria pasti tidak akan menunggu lama untuk diberikan peluang dalam menonjolkan bakatnya.
Di samping itu, melihat pada usianya yang baru sahaja mencecah 25 tahun, Chelsea pasti terbuka untuk mengekalkan pemain tengah itu untuk jangka masa panjang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram