PENYERANG Real Madrid, Karim Benzema berjaya merekodkan satu pencapaian peribadinya apabila membawa pulang trofi berprestij Ballon D'Or pada Selasa.
Kata pemain antarabangsa Perancis itu, dia menyifatkan kemenangan itu sebagai satu penghargaan kepada orang ramai dan mengatakan ia merupakan satu cita-citanya sejak bergelar pemain profesional.
"Saya sering terfikir untuk memenangi trofi ini, tetapi sejak saya menjangkau usia 30-an, ia menjadi satu cita-cita besar buat saya.
"Cita-cita itulah yang mendorong saya untuk bekerja dengan lebih keras, beraksi dengan lebih baik dan saya rasa bertuah kerana dapat bermain bersama salah satu kelab terbesar di dunia iaitu Real Madrid. Kemenangan ini untuk semua," katanya.
Pemain berusia 35 tahun itu dinobatkan pemain terbaik untuk 2022 dengan pemain sayap Bayern Munich, Sadio Mane dan tonggak Manchester City, Kevin de Bruyne masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Benzema membawa pulang Ballon D'Or selepas satu musim cukup cemerlang dengan menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) serta berjaya menjaringkan 44 gol dalam kesemua 46 perlawanan bersama pasukan itu.
Bagaimanapun, selain statistik cemerlang itu, terdapat lima lagi sebab yang membantu penyerang sensasi itu untuk dipilih sebagai pemain terbaik tahunan.
1. Momen epik di UCL
Musim lalu, di bawah kendalian Carlo Ancelotti, Real Madrid sering berada di saat genting, lebih-lebih lagi dalam pentas UCL sehingga mereka terpaksa untuk melupakan hasrat menjuarai kejohanan itu buat beberapa kali.
Tetapi, dengan kehadiran penyerang berjersi no.9 itu, skuad Los Blancos berjaya meneruskan kemaraan mereka dalam memastikan trofi berharga itu mampu dijulang.
Benzema berjaya mencatatkan hatrik ketika menentang Chelsea di Stamford Bridge. — Agensi
Antara kenangan yang sukar dilupakan penyokong fanatik Real Madrid adalah apabila Benzema merekodkan jaringan hatrik di Stadium Santiago Bernabeu untuk mengecewakan wakil Perancis, PSG.
Kejayaannya untuk membantu pasukan sukar untuk dilupakan, apatah lagi dengan Real Madrid ketinggalan dua gol secara agregat selepas tewas di tempat lawan sebelum aksi kedua.
Tidak cukup dengan itu, Benzema sekali lagi muncul sebagai wira di peringkat suku akhir dengan menjaringkan hatrik ketika berdepan pemenang UCL 2021, Chelsea di Stadium Stamford Bridge.
Jadi, tidak hairanlah apabila sumbangan tersebut sudah cukup untuk menjulang nama Benzema sebagai pemain paling layak untuk membawa pulang trofi Ballon D'Or tahun ini.
2. Ketiadaannya bersama Los Blancos dirasai
Selain memegang jawatan sebagai penyerang tunggal pasukan, Benzema juga diturunkan dalam kesebelasan utama dengan lilitan kapten setelah berbelas tahun dia menabur bakti bersama kelab Sepanyol itu.
Ciri-ciri kepimpinannya adalah salah satu sebab yang membolehkan Los Blancos menjulang dua trofi bermakna apabila kehadirannya menaikkan lagi semangat rakan sepasukan.
Jadi, ketiadaannya dalam beberapa pertembungan liga jelas dirasai dengan pemain gagal untuk mencipta peluang berbahaya di hadapan pintu gol lawan serta sering kelihatan goyah di atas padang.
Ketiadaan Benzema sering dikhuatiri Los Blancos. — Agensi
Salah satu perlawanan getir yang tidak menampilkan Benzema adalah ketika pertembungan 'El Clasico' bersama seteru utama, Barcelona di laman sendiri.
Kecederaan yang dialami terpaksa menyisihkan pemain senior itu daripada pasukan, sekali gus menyaksikan anak-anak buah Ancelotti dimalukan dengan skor 0-4 di laman sendiri.
Selain itu, ketiadaannya buat beberapa minggu turut menjejaskan perancangan pengurus kelahiran Itali itu setelah mereka tersingkir daripada kejohanan Copa del Rey pada pusingan 16 pasukan terbaik.
Oleh itu, tidak salah untuk mengatakan bahawa Benzema merupakan tonggak pasukan yang membantu Real Madrid mengecapi kejayaan bersejarah mereka musim ini.
3. Trofi berprestij
Tidak boleh dinafikan bahawa juri Ballon D'Or turut menilai sumbangan pemain itu dalam pasukan dengan jumlah trofi yang dibawa pulang pada tahun ini menjadi salah satu penanda aras.
Sepanjang tempoh penilaian itu, jumlah trofi pasukan yang dijulang Benzema tidaklah mengecewakan apabila dia berjaya menjulang trofi La Liga, UCL dan Piala Sumbangsih di peringkat kelab.
Tidak cukup dengan itu, sumbangan Benzema bersama skuad Perancis juga menjadi faktor utama kemenangannya dengan skuad Les Blues berjaya muncul sebagai pemenang UEFA Nations League.
Kepulangannya bersama skuad antarabangsa juga tidak kurang hebatnya setelah dia berjaya menjaringkan enam gol, dengan tiga daripada hadir dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.
Kemampuan Benzema untuk menjaringkan dan mencipta peluang gol kepada rakan sepasukan difahamkan antara punca kepada Real Madrid dan skuad Perancis mengecapi kejayaan musim ini.
4. Kurang persaingan
Ketika ini, lambakan bintang di pentas Eropah pastinya menyukarkan juri dalam memilih pemain paling layak untuk muncul sebagai pemenang Ballon D'Or.
Sumbangan pemain muda Perancis, Kylian Mbappe bersama PSG sukar untuk dipandang rendah dengan dia merupakan salah satu tonggak pasukan menerusi jaringan dan larian derasnya.
Pemain yang menduduki tangga ketiga Ballon D'Or, Kevin de Bruyne juga bukanlah satu nama yang asing dalam kalangan peminat bola sepak seluruh dunia dengan hantaran dan kredibilitinya jarang mengecewakan.
Sumbangan Benzema membolehkan skuad Les Blues menjulang trofi UEFA Nations League. — Agensi
Tetapi, sumbangan kedua-dua bintang itu tidaklah sehebat dan segetir Benzema apabila dia sering muncul dengan megah tatkala pasukannya sedang bergelut.
Selain itu, kesemua daripada pemain-pemain itu mempunyai kekurangan tersendiri yang membolehkan Benzema membawa pulang trofi itu setelah bertahun-tahun menyaksikan bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo muncul sebagai pemenang.
5. Penghujung dominasi Cristiano dan Messi
Meskipun penyerang kelahiran Portugal, Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan 24 gol dalam kesemua perlawanan bersama Manchester United, sumbangan dan kehadirannya sering dipersoalkan penyokong dan pemerhati bola sepak.
Pergelutan di sebalik tabir dikatakan antara punca The Red Devil mengharungi satu musim yang mengecewakan dengan pelbagai laporan mengatakan Cristiano Ronaldo merupakan dalang atas perkara itu.
Jadi, tidak hairanlah apabila pemenang lima kali itu bukanlah seorang calon utama untuk muncul sebagai juara pada edisi kali ini, sekali gus membolehkan Benzema mencatatkan satu momen peribadi yang indah.
Penghujung era Cristiano Ronaldo dan Messi membuka jalan buat Benzema. — Agensi
Selain itu, seorang lagi legenda bola sepak, Lionel Messi turut berdepan masalah tersendiri apabila penyerang kelahiran Argentina itu hanya berjaya menjaringkan lima gol dalam musim pertamanya bersama PSG.
Tambahan pula, kegagalan untuk mara ke peringkat suku akhir UCL bersama kelab Perancis itu terus memadam nama bekas penyerang Barcelona itu untuk muncul sebagai juara tahun ini.
Walaupun Messi berjaya membantu skuad kebangsaan Argentina untuk muncul sebagai juara Copa America, kemenangan itu gagal untuk membantu pemain licik itu muncul dalam kalangan 30 pemain terbaik 2022.
Ketiadaan kedua-dua pemain berstatus legenda tersebut membantu Benzema membawa pulang Ballon D'Or buat pertama kali dalam kariernya yang penuh warna-warni. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram